Umur tiga belas tahun. Lepas UPSR, masuk sekolah menengah. Duduk asrama. Kononnya, sudah dewasa. Mahu ikut jejak rakan yang masuk asrama. Walau sedar, mata punya pundi air mata sangat goyah. Masuk dengan harapan dapat bajet cool bila balik kampung.
Bukan semua kurang osem. Tak semua juga osem. Sama banyak saja pengalamannya.
Yang buat sengih sampai nampak gigi:
1. Hari pertama masuk asrama. Nampak kakak-kakak senior baik-baik semua. Siap tolong angkat beg baju lagi. Amboi. Tundukkan badan sikit bila lalu depan Puan Ma dan Encik Abah. Tapi. Itu tak lama. Malamnya, kami-kami yang baru mendaftar ni dikumpulkan di dewan makan. Seorang demi seorang kakak senior perkenalkan diri. Selepas itu, kami dengan pegang buku nota kulit keras di dada kena dapatkan tanda tangan mereka. Masuk satu bilik berjumpa kakak Z (nama dia mungkin tak mula dengan huruf Z). Dia jawab boleh bila aku minta tanda tangan dia. Tapi, dia kata. Kamu kena tiup lampu panjang ni sampai lampu ni terpadam. Ya, kamu mungkin kata itu bodoh. Tapi, untuk budak umur tiga belas tahun yang baru pertama kali tidur atas katil bertingkat, aku rasa wajib buat benda itu. Jadi, aku tiup. Masih tiup walau kakak-kakak dah bergolek ketawa di lantai. Sampai satu tahap, muka aku dah merah. Kakak-kakak tu suruh aku berhenti. Mereka tandatangan buku aku. Akhir minggu orientasi, aku dapat anugerah junior paling _________ (tempat kosong sebab aku tak ingat. Ini bukan kisah berlaku semalam). Anugerah ini is based wholly on the log book. Jadi, kamu tahu apa yang aku belajar waktu itu? Jika kamu pandai mengipas, memang senang untuk kamu hidup senang. Sebab itu, bila sudah semakin senior. Bila sudah semakin galak menentang arus. Tak ada lagi anugerah yang aku dapat.
2. Satu pagi, aku bangun tidur. Aku cari-cari selimut aku sebab aku rasa sejuk. Tapi selimut aku hilang. Aku gagau tangan aku ke bawah. Aku rasa sejuk. Aku terus celik mata. Terus terduduk bila nampak air penuh dalam bilik. Asrama banjir. Kami gembira sebab tak payah ke sekolah. Berkumpul di surau. Mujur ada kakak pengawas bagi tazkirah. Kurang sikit dosa buat bising dalam surau. Ambil gambar dalam banjir. Tangkap belut letak dalam baldi. Pertama kali aku rasa hidup di asrama sangat marbeles sebab rumah aku tak pernah banjir. Aku juga belajar yang ada sebab kenapa orang simpan buku tinggi-tinggi. Kamus Dewan Bahasa aku terkorban dalam banjir tu. Dan Puan Ma tak mahu beli untuk kali kedua dan aku sayang untuk keluarkan duit aku sendiri. Jadi, aku selalu fikir perkataan sinonim untuk satu-satu perkataan untuk Bahasa Melayu Pemahaman ikut logik akal aku. Contohnya meraung = malaun, sebab meraung akan buat pencemaran bunyi sampai orang akan panggil si peraung malaun.
3. Tengok Meteor Garden kat bilik TV. Sanggup skip makan petang sebab nak tengok si Jerry Yan. Aku rasa sebab tengok TV dulu, power kaca mata aku naik mendadak sebab aku kena kecilkan mata untuk tengok TV saiz paling minimum dengan penonton paling maximum.
4. Kawan-kawan yang pernah duduk sebilik atau orang puteh panggil 'roommate'. Mereka semuanya osem yang sangat banyak. Mereka gosok belakang bila aku sedih. Mereka tepuk tangan bila aku gembira. Kongsi cerita hantu pada malam minggu. Makan megi dalam gayung. Mengumpat makcik dewan makan. Kongsi cerita pasal segala.
Yang buat bibir mencebik:
1. Nasi dewan makan yang tak pernah sedap kecuali hari Khamis untuk waktu lunch. Paling perit bila berbuka puasa dengan sotong masih ada kulit, ikan hanyir, ayam kurang masak, nasi keras, air sirap tawar, air milo tak kaw, nasi lemak yang buat tandas penuh setiap pagi Selasa (ini kisah benar. Setiap pagi Selasa, jumlah pelajar asrama yang ke tandas akan jadi double. Jadi, kami buat kesimpulan yang nasi lemak makcik dewan makan ada satu ramuan rahsia yang menggalakan proses pembuangan).
2. Rindu Puan Ma, Encik Abah, Ika, Adikju, Adha, Arwah Tok, Uzma belum ada kala ini. Malam pertama, langsung tak boleh tidur. Kelip-kelip mata sampai ke pagi. Tatap gambar mereka yang setiap pagi sebelum ke kelas. Ya, masih ingat mereka setiap detik walau Ma dan Abah datang setiap Khamis dan setiap Sabtu. Khamis untuk ambil baju kotor. Sabtu untuk hantar baju bersih yang dah bergosok. Sebab itu, aku bimbang kalau satu hari anak aku suruh aku basuh dia punya seluar kecil, aku harus buat tanpa banyak cerita sebab dia akan ada nenek dia untuk cakap "Alah, mak kau dulu pun begitu".
3. Puan Warden yang pilih kasih. Malas nak ulas panjang. Memori pahit.
***
Ini entry paling panjang aku pernah tulis. Aku perasankan sesuatu. Walau banyak mana pun aku cakap yang tahun 2003 itu hidup aku sangat sengsara. Aku sedar yang tahun itu adalah tahun yang paling best buat aku. Tahun yang buat aku rasa aku betul-betul bernyawa. Terima kasih kepada Puan Zarimah sebab paksa aku duduk asrama. Tapi dia cuba tebus balik dengan hantar makanan dari pasar malam setiap hari Khamis. Dan aku tak pernah marah pun sebenarnya. Masuk tingkatan dua, aku dah tak duduk asrama. Jadi, aku pernah hidup dalam dua-dua dunia. Ada baik buruk untuk setiap pihak.
Yang pasti, asrama ajar aku apa makna kawan yang sebenar. Perkataan kawan tu nampak macam kecil sebab dah biasa sangat orang guna. Tapi maksud sebenar disebalik perkataan tu ialah, "Aku sanggup stay up malam bila kau demam sambil lap tubuh dan dahi kau dengan kain basah dan dodoi kau bila kau merengek walau kau dah umur 13 tahun" (Kisah benar. Kisah kawan aku yang jaga aku bila aku demam. Ya, dia memang tak tidur semalaman sebab kwan dia ni takut makan panadol lalu demam jadi melarat. Dia, aku akan sentiasa doakan supaya hidup dia bahagia sebab dia memang sangat osem).
No comments:
Post a Comment