Saturday 30 April 2011

8 perkara


Hari itu bermula sangat pagi. Aku gosok baju kurung kaler biru. Aku gosok tudung. Aku saut kemas di tubuh. Gantung kad pelajar. Belek beg lihat isi kotak pensel. Beres. Bertolak. Sampai di situ, sudah ramai pelajar di situ. Ada yang baca nota. Ada yang telan roti. Lepak sekejap, dipanggil masuk. Duduk. Baca doa. Buka penutup pen Faber Castell roller 0.5 s-fine kaler biru. Mula menjawab paper. Tapi, sangat terganggu bila perlu berdepan dengan situasi di bawah:

1. Lecturer perempuan muda baru grad lalu lalang di sebelah sambil sebar bau minyak wangi tiga kilo.

2. Orang sebelah batuk-batuk dari awal exam sampai tiga jam kemudiannya.

3. Budak cemerlang yang siap awal lalu bangun menuju pintu keluar. Aku jadi mahu ilut hantar walau masih tak siap menggoreng.

4. Bunyi kletak-kletuk kasut kulit guard-guard peperiksaan.

5. Makhluk-makhluk meniru di sebelah, depan, belakang tapi tak faham berbisik itu maknanya cakap tak ada volume.

6. Tiba-tiba hidung tangkap bau ayam goreng time perut keroncong bunyi sitar.

7. Geng-geng goyang kaki. Aku jadi ralit lalu lupa nak sambung proses gorengnology.

8. Dewan sejuk beku.


Cuma nak tambah yang ini adalah entri yang ke seratus(100). Mujur angka itu tidak diwakili oleh cerita tentang apa aku makan untuk hari ini.

Tak Harus 2


Rasa nak terjelir lidah bila lihat gadis manis pakai kain kurung atas buku lali.

Pak Tuyu Seksyen 5


Puan Zarimah jarang tak sibuk. Tapi dia berhenti dari isi buku maklumat murid bila Encik Zuhaimi minta segelas nescafe. Encik Zuhaimi pun selalu sibuk. Tapi dia berhenti dari basuh kereta bila Puan Zarimah minta hantarkan ke Pasar Batu Enam beli santan. Ini tolak-ansur.

Akal tiga jengkal


Yang salah akan tetap jadi salah walau didasari oleh sebab musabab yang mungkin nampak logik. Ini tajuk cerita. Nak lebih faham, ini contohnya:

1. Bawa masuk nota intensif dalam dewan sejuk beku waktu final paper tetap salah walau impian untuk berjaya supaya tak hampakan Puan ibu dan Encik bapa.

2. Tak pakai tudung tetap salah walau guna alasan belum bersedia.

3. Comolot depan pavilion tetap salah walau mahu kekalkan hubungan dengan pakwe yang mungkin tak akan jadi laki.

4. Curi roti Gardenia di Kedai Runcit Ali tetap salah walau nak tolong makcik tua minta sedekah tepi bas stop.

5. Tabur fitnah tetap salah walau yang difitnah itu manusia buruk kondisi sahsiah.

6. Makan waktu bulan puasa tetap salah walau niat taknak bazirkan nasi campur lauk ayam percik campur sirap limau semalam.

7. Minta sedekah walau tulang empat kerat masih tak osteoporosis tetap salah walau niat nak galakkan rakyat Malaysia bersedekah.

Ini penutup cerita. Titik.


Tuesday 26 April 2011

Harus 17


Bila buat salah haruslah minta maaf.

Sunday 24 April 2011

Puan Zarimah semakin tak muda


Saya harap esok semua budak darjah satu akan jadi baik. Sopan dan santun. Jangan kacau cikgu-cikgu kamu terutama yang ajar Sains dan Ilmu Hisab kelas 1 Linus SKBR. Saya harap esok harga ikan, ayam, daging, sotong, udang, bawang putih merah besar semua turun. Terutama di Pasar Batu Enam 5 kilometer dari Pak Tuyu. Esok saya harap Achik Zulfadhli tiba-tiba rasa mahu jemur baju. Esok saya harap Alang Zulhairee tak sengaja cukur kening sendiri. Esok saya harap Adik Uzma tak mandi-manda sehingga rumah separa banjir. Esok moga cuaca elok di Pak Tuyu. Sebab saya mahu Puan Zarimah hepi esok. Esok saya mahu Puan Zarimah sambut hari lahir dengan tenang.

Ma, Selamat Hari Lahir. Satu, along hanya mahu Ma hepi. Jadi, jom kita pergi shopping.

Friday 22 April 2011

Kala masih ada gigi susu 2


Umur waktu itu tujuh tahun. Masih jahil lalu dengan bebas tak sarung tudung. Sebab selalu tocang rambut, dapat nama ekor kuda. Sangat tujuh tahun. Mungkin sebab aku pernah habiskan satu tahun sebelumnya di darjah satu, rasa sangat bangga diri. Tiba-tiba jadi penolong kelas. Suara aku nyaring jadi aku buat-buat garang. Satu hari ada sorang budak, biar aku panggil dia Mamat 2 tak ikut jadual bertugas. Jadi aku pun suruh dia pegang penyodok kaler merah. Dia jelir, dia lari-lari sambil laung ekor kuda berulang kali. Oh, aku jadi panas. Aku angkat penyodok kaler merah, aku kejar Mamat 2. Sekelip mata, Mamat 2 berhenti lari. Dua kelip mata, aku pun berhenti. Tiga kelip mata, bucu penyodok kaler merah nyaris butakan mata Mamat 2. Hujung mata Mamat 2 luka agak parah. Darah keluar walau tak banyak. Aku dah nak menangis. Memori aku sampai di situ. Aku kurang ingat apa Mamat 2 buat selepas itu. Tapi yang aku ingat, esoknya ayah Mamat 2 datang ke kelas. Ayah dia polis. Dia cakap nak jumpa aku. Aku memang yakin aku perlu masuk penjara sebab aku lukakan anak polis. Tapi ayah cuma cakap, "Lain kali jangan buat anak pakcik macam tu ye" sambil senyum. Aku angguk. Mamat 2 tengok aku sambil sengih-sengih. Selepas itu, aku jadi kawan Mamat 2 sampai sekarang. Mamat 2 pun pakai kaca mata sekarang. Dia cakap mata dia rabun sebab penyodok kaler merah tu. Aku tahu dia bergurau atau aku sangat harap dia bergurau!

Tak Harus 1


Rasa nak termengumpat mereka-mereka yang sarung kaca mata hitam dalam pusat beli-belah. Kecuali kalau mereka sakit mata.

Thursday 21 April 2011

Empat perkara


Banyak perkara yang kita dalam kurungan aku mungkin akan buat sampai bila-bila.

1. Makan Nasi
Tiada. Saya ulang. Tiada perkara yang dapat ganti empukkan perut macam nasi buat. Walau usus penuh dengan keropok lekor, gardenia punya butterscotch, megi tomyam, masih mahu kunyah nasi untuk lengkapkan proses kehidupan sehari-hari. Lagi satu, perlu makan dengan lima batang jari belah kanan. Sudu campur garfu buat nasi tiba-tiba rasa macam tak empuk.

2. Rindu Pak Tuyu
Mase umo tige belah taung, penoh ah dok asrama puteri sutir skoloh. Ingat ke rumoh sokmo. Dok kire siang malang. Ingat sebab budok-budok agi. Rupenye memang rase gitu sokmo pah besor pong. Lening, kalu kire boleh gi ngundi doh tapi gletak agi rase nok balik. Dok-dok taing pitih dok berape nok ade. Dok pong taing keje skoloh dok siap. Rumoh tu memang akan jadi tempat hok sedak kali pah bile-bile.

3. Tambah ketebalan kaca mata
Tahap rabun tak pernah surut rupanya walau saya sentiasa sedut bau jus lobak campur susu anak Pakcik Samiun minum. Tapi saya tak kisah sebab itu boleh jadi modal untuk tukar bingkai kaca mata.

4. Cium Encik Zuhaimi
Waktu sedang konon-konon nak remaja, tiba-tiba rasa malu nak peluk cium Encik Zuhaimi kat khalayak ramai. Geli dengan misai dia yang kaler hitam putih tu. Tapi bila dah dekat-dekat nak tua ni, rasa menyesal bila bazirkan masa fikir apa orang lain kata sebelum cium bapak kandung. Rasa kesat misai itu kat dahi sangat-sangat menyebakkan jiwa terutama sebelum naik bas Sani RM45.50. Encik Zuhaimi, kamu akan sentiasa jadi 'firstlove' saya.

Tuesday 19 April 2011


Langit sangat merah di shah alam hari ini. Sunyi. Sudah empat bulan Tok pergi.Tanggal pada tarikh 19 ini. Along redha sekarang. Bukan along tak rindu. Al-fatihah.

Harus 16


Alas kaki itu harus selipar jepun. Titik.

Monday 18 April 2011

Kala masih ada gigi susu 1


Umur waktu itu enam tahun. Tapi saya darjah satu. Ini semua sebab Puan Zarimah cikgu. Dia sumbat saya dengan senior-senior umur tujuh tahun. Saya masih teguk susu dari botol kaler pink waktu itu. Saya femes sebab saya anak cikgu. Jadi saya selamat dari jadi mangsa buli. Cuma tak ramai orang yang nak kawan dengan saya sebab saya budak kecik. Kecuali dia. Saya betul-betul mahu ingat nama dia tapi saya lupa. Biar la saya panggil dia Mamat. Mamat kawan rapat saya. Sangat rapat. Ke mana pun kami berdua. Seingat saya Mamat pendek. Dia tinggi sejengkal mungkin kalau bandingkan dengan saya. Kalau saya tak hepi, mesti Mamat buat-buat jadi Power Rangers. Bila dia jerit "bertukar", saya mesti ketawa guling-guling walau saya dah dengar benda yang sama beribu kali. Ada satu hari Puan Zarimah masuk kelas. Dia ajar Sains. Saya asyik main-main buat bising kat belakang. Puan Zarimah geram. Dia tiba-tiba tanya "Ada tak budak dalam kelas ni yang masih minum susu dari botol?". Waktu itu semua orang pandang saya dan gelak. Tapi Mamat tak. Dia lansung tak gelak. Balik rumah hari itu, terus saya buang botol susu kaler pink saya. Mamat sorang yang pendiam bila dia di khalayak ramai. Tapi bila kami berdua, dia sangat bising. Saya ingin tulis panjang-panjang. Sebab saya masih ingat rasa gembira setiap hari sepanjang tahun. Tapi rasa itu kabur. Muka Mamat pun saya dah tak ingat. Tapi banyak memori yang masih saya simpan. Habis tahun itu, saya masuk darjah satu sekali lagi. Tapi kali ini di sekolah lain. Saya terpisah dengan Mamat. Puan Zarimah pun dah pindah sekolah lain. Mamat langsung tak muncul dalam hidup saya lagi. Dah 15 tahun berlalu dan saya masih simpan harap untuk jumpa Mamat sekali lagi. Masih pendekkah dia? Berkumiskah? Sudah berkerintingkah? Mamat, saya harap kamu sekarang budak umur 22 tahun yang sihat!

Wednesday 13 April 2011

Dia tu memang....


Seorang lelaki kurang kacak menyarung baju kaler hijau terang dipadankan dengan seluar kaler merah. Mereka-mereka terus menilai tanpa mengetahui dia sebenarnya buta warna.

Seorang pakcik senget hidungnya. Hencot kakinya. Pakcik itu dilabel cacat oleh mereka-mereka tanpa diketahui hidung itu senget dilibas buku lima sedozen komunis. Kaki itu hencot ditembak ketika cuba pertahan anak bangsa dari jadi mangsa.

Seorang makcik pakai baju kurung lusuh menangis di stesen bas. Mereka-mereka terus menilai makcik sebagai kurang akal tanpa mereka tahu makcik tua baru dibuang anak yang sudah kaya tapi tak pernah cukup duit mahu tanggung makan lima ringgit sehari seorang ibu. Dalam kurungan, anak bodoh.

Seorang jejaka kacak bergaya pandu kereta kaler merah cuba mengorat seorang awek kurang lawa tapi jadi sedikit lawa selepas calit bedak kaler-kaler. Terus awek nilai jejaka kacak seorang bekerjaya tanpa mengetahui jejaka kacak meragut setiap hari Isnin.

Kalaulah kita tidak sekadar melihat di permukaan dan berhenti di situ. Kalaulah kita tidak berhenti di situ. Kalaulah.


Banyak perenggan


Kalau aku perlu conteng belog sekarang, perenggan pertama pasti aku akan isi dengan 'research questions, research design, data analysis, intrumentation'. Malas mahu alih bahasa. Aku yakin kamu-kamu faham sebab kamu-kamu tonton MTV.

Perenggan kedua aku akan karang segala macam bahasa aku kurang faham tapi buat-buat faham lebih kurang di bawah:

PUT RANDOM(10)INTO MEMBER("number_1")
PUT RANDOM(10)INTO MEMBER("number_2")
PUT EMPTY INTO MEMBER("sum")
PUT EMPTY INTO MEMBER("Feedback")

Perenggan ketiga aku mahu syairkan rasa mahu beli tiket bas Sani RM45.50 pukul 8.30 p.m, beli 100 plus, pakai stokin tebal belang-belang, tutup mata lapan jam sebelum nampak tak nampak suria pagi di Pak Tuyu. Syair ini aku tajukkan 'Aku mahu pulang sebab aku dengki tengok orang-orang yang rumah mereka hanya makan masa setengah jam perjalanan pulang waktu minggu belajar'.

Perenggan seterusnya, aku akan isi dengan segala macam doa individu, doa Puan Zarimah, solat-solat hajat sebab aku yakin kalau setakat dengan usaha aku konon-konon buat nota, buat latihan, tanya kawan memang tak cukup untuk aku nak jawab soalan-soalan yang tak pernah sama dengan latihan-latihan yang aku pernah buat.

Yang pasti, sedikit masa lagi aku sudah boleh kembali ukur lebar bilik aku kaler kuning, marathon tidur, isi perut dengan nasi campur lauk yang nampak rupa lauk, pegang 'remote' kotak televisi, peluk Puan Zarimah. Empat bulan akan datang, berat aku pasti naik lagi.

Friday 8 April 2011

Harus 15


Surat khabar itu harus Harian Metro. Dengan RM1.50, saya dapat bahan lucah percuma. Suka.

*perlu dikesan tona sinis dalam entri ini.