Monday 28 February 2011

Kelat


Cuba untuk menulis tentang Islam. Tersekat. Termenung. Kelu. Lama. Susah rupanya.

Friday 25 February 2011

Harus 11


Air mineral itu harus spritzer tudung kaler hijau muda terang.

Bulu-bulu kepala


Aku mungkin serkap jarang. Aku mungkin tuduh melulu. Aku mungkin terlalu cepat menilai. Tapi kenapa ya. Kenapa lelaki-lelaki yang sambung mengaji di luar Malaysia memilih gaya rambut yang sangat tiba-tiba. Ini tak termasuk mereka yang sememangnya gemar mengkayakan industri fesyen bulu-bulu kepala. Adakah kerana pertukaran cuaca? Pertukaran bahasa?Pertukaran hormon?Perubahan tak salah tapi janganlah sampai berbulu mata ibu melihat.

Sengih tak nampak gusi


Senyum. Hari-hari aku senyum. Bila lambat hantar assignment, jangan gaduh bagi alasan, senyum. Bila tertumpahkan air milo tabur kat baju kemeja putih brader ala-ala komander, senyum. Bila terhabis guna elaun bulan hadapan, telefon Puan Zarimah guna tiga G, senyum. Itu bukti aku memang suka senyum. Cuma, aku tak senyum bila termenung. Aku kurang senyum dengan orang-orang yang asing bagi ruang selesa aku. Aku kurang senyum bila aku jalan sorang-sorang. Aku tak senyum bila aku perlu berada di khalayak yang ramai. Tapi kalau ada satu senyum memang untuk aku, aku mesti balas senyum. :)

Thursday 24 February 2011

Pak Tuyu Seksyen 4


Encik Zuhaimi orang Kelantan. Tapi dia tinggal di Pak Tuyu. Pak Tuyu itu elok terletak di Terengganu. Jadi, bila balik ke Kelantan dia akan jadi mega hepi. Dia akan basuh kereta setiap hari sambil nyanyi dikir Halim Yazid. Dia tiba-tiba akan senyum setiap saat. Dia akan praktis lenggok bahasa Kelantan yang dia sudah jarang guna. Dia akan jadi Encik Zuhaimi yang gembira. Angah Zulaikha tak berapa suka bila perlu balik ke Kelantan. Tapi, dia senyum sepanjang perjalanan. Dia bangun awal pagi. Dia kemas beg malam sebelumnya. Dia tak pernah buat alasan supaya dia tak perlu balik. Itu tolak ansur.

Wednesday 23 February 2011

Satu nama


Satu nama boleh buat dia jadi diri sendiri. Satu nama boleh buat dia hepi. Satu nama buat dia kenang asal-usul. Satu nama yang dulunya dia sangka nama dia sebelum dia pandai mengeja membaca. Satu nama yang hanya orang-orang rapat yang berani seru. Satu nama yang dia sangat suka. Satu nama yang kemudiannya menbentuk tuan punya nama. Dia jatuh sayang pada semua mereka-mereka yang panggil dia dengan nama itu. Sebelum dia tahu nama dia Zawanie, dia sangka dia bernama Ayeq.

Harus 10


Bau wongi itu harus dari Body Shop Japanese Cherry Blossom Eau de Toilette.

Mujur Puan tak kenal blog


Ponteng kelas untuk siapkan assignment.
Matlamat tak halalkan cara?
Puan Zarimah, matlamat saya besar. Jadinya, kecil-kecilkan pandang bab terponteng tu.

Tuesday 22 February 2011


Esok, aku nak bangun tidur, aku nak sengih lebar-lebar. Senyum biar nampak gigi-gigi. Ketawa kuat-kuat. Esok aku nak hepi. Kalaulah esok dapat hamper.

Monday 21 February 2011

Surat cucu ke 35


Tok, hari jumaat lepas, ma telefon along. Suara ma lemah. Ma demam. Ma tak cakap tapi along tahu ma rindu tok. Ma cakap dia dah kemaskan bilik tok. Sekarang, adikju dah ambil alih bilik tu. Along tak tahu nak cakap apa. Along iakan saja kata-kata ma. Sebelum ma letak telefon, ma cakap yang dia minta along maafkan dia kalau dia ada buat salah. Along dah tak tahan. Air mata along mengalir laju. Ma tak pernah buat salah. Along yang selalu sakitkan hati ma. Hati tok. Tok, along minta maaf sebab dah lama tak buatkan tok kopi. Along ingat lagi tok pernah puji kopi along sedap. Banyak gula. Manis. Along minta maaf bila along tak layan tok bercerita. Kesian tok cakap ngan Uzma yang tak faham apa-apa. Along minta maaf. Along minta maaf bila along alih siaran waktu tok sedang syok tengok P.Ramlee. Along minta maaf bila along marah tok tumpahkan nasi kat dapur. Tok, along minta maaf. Kalaulah along tahu hari itu tok dah nak pergi, along mesti duduk rumah temankan tok. Maafkan along sebab along jawab endah tak endah bila tok tanya ke mana along nak pergi. Kalaulah along tahu, mesti along peluk tok erat-erat. Mesti along cium tok puas-puas. Kalaulah along tahu. Bila tok cakap tok sesak nafas malam tu, along ingatkan tok lelah. Tok kan memang selalu lelah kalau hujan. Tapi kenapa nafas tok makin perlahan. Tok, along takut sangat masa tu. Along pergi panggil ma. Ma panggil Pak Ngah Ali. Along urut kaki tok. Kaki tok sejuk sangat. Along ingat yang ustaz along kata kalau kaki sejuk, maut dah nak tiba. Tapi along sedapkan hati along. Along taknak percaya. Along nak tok terus ada. Along nak tok terus ada. Along nak tok terus ada. Lepas itu, along ajar tok mengucap. Syukur sangat bila tok ikut. Air mata along dah tak berhenti masa tu. Ma cakap jangan menangis. Tapi apa nak buat kalau air mata tu dah nak keluar. Masa tu, along terbayang saat-saat along ngan tok. Banyak sangat benda yang buat along ingat kat tok. Along taknak tok pergi. Along nak tebus dosa along ngan tok.Tapi tok dah tutup mata. Senyap. Along menangis bagai nak gila. Ma datang peluk along. Ma suruh along redha. Along senyap dalam pelukan ma. Tok, along tunggu tok malam tu. Sekejap, along belek kain, tengok muka tok. Bersih sangat. Masa tu pukul 2 pagi. Along tertidur dalam air mata. Pukul 5, ma gerakkan along. Along mandi. Along sambung duduk kat tok. Along taknak tinggalkan tok. Along menangis lagi. Pukul 8 ramai orang datang. Along tunggu kat luar bilik. Along asyik menangis je hari itu. Tok, along tolong mandikan tok. Along urut lembut kulit tok sebab along takut tok sakit. Along nak menangis tapi along tahan. Along nak pastikan tok bersih sungguh-sungguh. Teringat along dulu tok selalu mandikan along. Tapi along nak tolong shampookan rambut tok pun susah. Along minta maaf tok. Tok, bila mereka panggil anak cucu untuk tengok tok buat kali terakhir, kaki along berat sangat nak pergi. Along gagahkan diri. Along tahan air mata. Along cium tok. Selalunya tok senyum lebar bila along cium tok. Tapi hari tu, takde senyum. Along menangis lagi. Along tengok ma. Ma pun menangis. Abah pun sama. Semua orang menangis. Lepas dah selesai semua, along iring tok ke pusara. Along tak nampak apa-apa masa tu. Ma peluk along. Along orang terakhir yang siramkan air ke puasara tok. Along macam nak rebah tapi along tahan. Along gerak lambat-lambat bila nak balik. Balik, along masuk bilik tok. Along peluk bantal tok. Along baring. Along menangis kuat-kuat. Kalaulah along tahu. Tok, along minta maaf. Tok, along nampak tok kat setiap tempat. Tok, along nak sangat dengar suara tok lagi. Along tak kisah kalau tok cerita benda yang sama. Along dah tak kisah. Along sangat-sangat nak tok ada lagi. Kalaulah along tahu. Along akan cakap yang along sayang tok. Banyak sangat. Walau along selalu marah tok, tapi along sayang tok sangat. Along minta maaf sebab tak jadi cucu terbaik untuk tok. Along matikan jam along kat jam 2. Sebab waktu tu la tok pergi tinggalkan along. Along nak ingat waktu tu sampai bila-bila. Along janji akan jadi anak yang baik lepas ni. Kesian ma kalau along terus buat hal. Along harap tok bahagia di sana. Along akan sentiasa doakan tok. Al-fatihah.

Friday 18 February 2011

Jakunness


Saya cuma nak cakap yang saya ulang tayang cerita Adnan Sempit sepuluh kali lepas pukul 6 petang tadi. Terima kasih sebab lagi hensem di luar skrin panggung.

Tuesday 15 February 2011

Harus 9


Cokelat itu harus M&M's Minis milk chocolate.

Pak Tuyu seksyen 3


Puan Zarimah balik kerja pukul 2. Dia bersihkan tubuh. Dia rehat. Dia masak kalau dia sihat. Kalau tak, dia beli lauk. Dia masak nasi. Lepas itu, dia tunggu. Tunggu Encik Zuhaimi balik pukul 6.30. Encik Zuhaimi rehat. Encik Zuhaimi mandi. Pukul 8, mereka mesti makan malam. Sambil makan, Puan Zarimah akan cerita pasal anak murid dia yang suka tidur dalam kelas. Anak murid dia kentut dalam kelas. Anak murid dia menangis mahu ikut mak balik. Bagaimana anak murid tahun satu sekarang dah ada telefon bimbit sorang satu. Semua tu Puan Zarimah cerita setiap kali mereka makan malam. Encik Zuhaimi dah dengar cerita yang sama 22 tahun. Tapi, dia gelak besar setiap kali Puan Zarimah cerita. Ini tolak-ansur.

Monday 14 February 2011

Kamu, dengar sini.


Hey kamu.
Saya takut pandu kereta. Jadi kamu harus tahu pusing stereng, tukar gear.
Saya takut gelap. Jadi kamu harus sentiasa ada lampu suluh mudah guna.
Saya takut kilat. Kamu harus perlu peka dengan cuaca.
Saya benci air buah. Kamu jangan sesekali paksa saya minum.
Saya suka makan tapi malas bersenam. Jangan sesekali suruh saya minum jus Dr. Rozmey.
Saya tak suka tempat ramai orang. Jangan paksa saya jumpa kawan-kawan kamu.
Saya suka mamat Korea. Kamu jangan sesekali buat-buat minat. Itu hobi saya, bukan kamu.
Saya suka tidur. Jangan kacau saya bila saya tidur.
Saya tak makan ikan. Kamu makan sorang-sorang.
Saya kurang minat kartoon. Jangan sibuk suruh saya tengok 'penyiasat konan'.
Saya tak suka mee. Tukar selera kamu ke kuey tieow.
Saya sangat suka tomyam. Saya harap kamu pun suka.
Saya suka tengok orang bersukan. Kamu harus paling kurang boleh sepak bola.
Saya suka Eclipse mints blackcurrant. Ia harus sentiasa ada dalam poket kamu.
Saya wajib minum teh ais setiap hari. Tolong ambil perhatian.
Saya tak suka lelaki rambut panjang. Tolong potong setiap 2 bulan.
Saya memang penakut. Kamu wajib jadi berani.
Saya suka kek keju. Jangan bungkuskan saya kek coklat.
Saya benci kasut tumit tinggi. Kamu harus cakap saya cantik bila sarung selipar jepun.
Saya suka daisi. Jangan bagi saya bunga mawar.
Saya memang suka menangis. Kamu harus ada stok tisu berkotak-kotak.
Saya tak suka naik kereta laju-laju. Kamu pandu bawah 80 km/j cukup.
Saya tak suka orang botak. Jangan sesekali cukur kepala kamu.
Saya suka kaler purple. Tapi kamu mesti selalu pakai kaler putih.
Saya tak cantik. Saya tak harap kamu hensem.
Saya benci bila lelaki bermake-up. Kamu jangan sesekali berbedak berkrim.
Saya suka 'shoping tingkap'. Kamu mesti sanggup luang kurang-kurang empat jam belek-belek kain baju kat sepuluh kedai.
Saya sangat benci rokok. Kamu janganlah sedut hembus tiub bodoh tu.

Saya memang banyak songeh. Kamu kena sabar. Kamu kena terima.
Saya pun akan cuba terima kamu.
Saya harap kita jumpa bila kita sama-sama sedia.
Sebelum kita jumpa ni, jaga diri kamu!

Hati rabun


Gadis itu memang senang jatuh suka. Dia konon ada gambar pasport dalam kepala bila mahu cari calon untuk jatuh suka. Mesti sarung kaca mata bingkai kaler hitam. Tapi esoknya, dia suka tengok brader jual air tebu yang pakai kanta lekap. Kulit mesti kaler coklat campur putih. Tapi lusanya, dia suka kat bakal kawan kaler putih pucat yang sedang tunggu bas rapid. Mesti tinggi. Tapi tulatnya dia suka kat mamat pendek main sepak takraw. Gadis itu memang senang jatuh suka. Tapi rasa suka tu tak pernah kekal lama. Sebab itu gadis itu tak percaya cinta pandang pertama. Sebab dia memang senang jatuh suka.

Harus 8


Lelaki itu mungkin harus kidal.

Pak Tuyu seksyen 2


Encik Zuhaimi tak suka makan ayam. Ayam kampung, ayam bandar semua dia tolak tepi. Tapi Angah Zulaikha hanya makan lauk ayam. Bila Angah Zulaikha balik dari sekolah teknologi mara, Encik Zuhaimi tiba-tiba makan ayam. Peha, kepak, dada ayam semua licin Encik Zuhaimi telan. Ini tolak ansur.

Akal dua jengkal


Bersosial tidak salah tapi bila ujian kehamilan itu satu prosedur wajib tiap kali remaja sakit perut, ada yang tidak kena mungkin dengan cara remaja kita bersosial. Jangan terlalu menerima. Jangan terlalu cepat redha dengan satu situasi walau ia salah. Saya cuma mahu encik/puan doktor ada sedikit rasa serba salah apabila kamu-kamu cadangkan ujian mungkin ada bayi kepada mereka yang jelas statusnya belum berkahwin. Saya cuma nak cakap yang bukan semua orang akan buang bayi.

Wednesday 9 February 2011

Puan Zarimah yang sibuk.


Puan Zarimah bukan surirumah. Dia cikgu. Dia sudah pegang kapur 24 tahun. Dia juga isteri Encik Zuhaimi. Dia buat kopi sudah 21 tahun. Dia juga ibu lima warga Pak Tuyu. Dia tukar kira-kira 10 kargo lampin pakai wajib buang. Jadi, dia memang sibuk. Tapi dia tak pernah lupa gosok baju seluar Encik Zuhaimi. Tak pernah lelah coret-coret papan hitam hijau. Tak pernah lupa apa 5 warga Pak Tuyu suka. Aku konon sibuk. Bangun tidur, tidur lagi. Hadap kotak-kotak teknologi. Makan makanan bawah tudung saji. Sebab sibuk itu agaknya aku susah nak tolong Puan Zarimah lipat baju kain. Sebab itu juga aku selalu mahu tutup mata dalam kelas. Tapi sebab Puan Zarimah sangat hebat, aku mesti jadi hebat juga 5 tahun lagi. Hebat itu mungkin ada dalam baka bukan?

Sunday 6 February 2011

Saya seorang procrastinator.


Otak kiri mahu lintas ke kanan. Otak kanan sibuk kemas barang atas lori mahu pindah ke kiri. Otak depan cuma mahu tidur. Otak belakang sudah isi permohonan berhenti kerja. Kalaulah saya guna masa yang dulunya ada sebaiknya, mungkin otak saya tak kusut bersimpang siur macam hari ini. Mungkin juga sampai hari esok.

Saturday 5 February 2011

Harus 7


Nombor plat mobil empat roda harus 7005.

Pak Tuyu Seksyen 1


Puan Zarimah kurang gemar kain kurung corak jalur-jalur. Dia suka bunga-bunga. Satu hari, Encik Zuhaimi bagi dia satu hadiah. Dia buka, kain jalur-jalur. Dia senyum. Cakap terima kasih. Lepas siap jahit, hiperbolanya dia pakai baju jalur-jalur setiap hari. Itu jadi baju paling dia suka. Itu tolak-ansur.

Wednesday 2 February 2011

Ini mungkin cerita tentang kotak.


Hari ini nak buat kerja sekolah. Memang banyak. Kena buat sekarang. Buka penutup pen, buka buku, buka kaki meja lipat. Lima minit kemudian. Menghadap kotak televisi, tonton semua saluran. Atas peha riba kotak laptop, konon bersosial. Tangan kanan genggam kotak telefon, taip 'haha' 'huhu' 'lol' campur ikon muka emosi. Penutup pen sudah kemas tutup. Buku sudah kemas di rak. Kaki meja sudah kemas terlipat. Bukan salah saya. Salahkan semua kotak-kotak. Kotak-kotak itu yang buat kotak fikiran saya terpesong. Ini saya rasa godaan manusia konon celik teknologi.

Tuesday 1 February 2011

Harus 6


Roti itu harus resipi Uncle Slocumm. Mungkin juga perlu sedikit Nutella.