Friday 24 June 2011

Pakcik kacak


Takenouchi Yutaka. Tak perlu cerita lebih. Kamu paling hensem selepas Encik Zuhaimi. Titik.

Wednesday 22 June 2011

Sepasu daisi


Lelaki itu pegang pasu berlilit reben merah hati kemas. Dia kira. Tiga. Dua. Satu. Sekarang. Laju dia menapak ke depan pintu kuning sebuah rumah batu. Dia letak pasu. Dia tekan loceng. Dia lari sembunyi di sebalik pokok mungkin mempelam. Keluar dia yang lelaki itu tunggu. Pasu diambil. Pintu ditutup. Lelaki itu puas. Sudah tiga minggu dia begitu. Tiga minggu dari pertama kali dia nampak gadis itu bersama gula gula kapas di taman tema. Sejak itu dia sembunyi hadiahkan bunga dalam pasu kepada gadis itu. Tiga minggu sudah cukup lama. Dia yakin sekarang gadis itu faham. Esok dia mahu gadis itu tahu siapa dia.

Esoknya..

Dia bersiap kemas hari ini. Pasu kemas di tangan. Dia melangkah yakin. Sampai di pintu kuning. Dia tekan loceng. Dia tunggu. Terdengar derap kaki. Pintu dibuka. Tapi bukan gadis itu. Jejaka kacak tegak memegang tombol pintu. lelaki itu tergaman. "Siapa?". Terdengar suara halus. Muncul gadis itu dengan sejambak mawar. Dia tak tunggu lama. Terus lelaki itu berlari. Sembunyi di belakang pokok yang sama. Menyandar di situ. Gadis itu tidak faham rupanya.

Dia pandang pasu berisi daisi di tangan. Ah daisi. Daisi, cinta tersembunyi. Kalau dia tahu, dia beli bunga mawar. Ini padah bila dia terlalu bersembunyi. Sepasu daisi dihempas ke tanah. Dia longlai menapak ke taman tema. Moga ada gadis makan gula gula kapas lagi.

Tuesday 21 June 2011

Bila burung terlepas dari sangkar


Ada satu cerita. Lama disisip rapi dalam almari empat segi. Cerita tentang sorang budak. Perempuan. Sarung kaca mata, rambut bertocang. Cerita tentang sorang budak. Lelaki. Kurus tinggi, mata sepet. Bertemu mereka. Berkawan. Sebatang aiskrim poli dipatah dua. Bergendong basikal ke sekolah. Mereka hanya kawan. Kata mereka. Satu hari. Budak lelaki berpindah keluar daerah. Budak perempuan sendiri. Tiada siapa yang mahu dikongsi aiskrim poli. Basikal dikatih sendiri. Budak perempuan sedar yang dia tidak hanya mahu jadi kawan. Tapi sudah terlewat. Budak lelaki kembali. Dengan sorang budak. Perempuan. Budak perempuan lain.


Kamu. Kita mula sebagai kawan. Kita berdua tahu. Akhir bukan sebagai kawan. Hanya aku yang tahu.

Sunday 19 June 2011

Selamat hari abah, Encik Zuhaimi


Poop. Encik Zuhaimi kentut. Sabar. Sabar. Untuk hari ini kentut dia wangi. Dia angkat buntut dari sofa laju ke dapur. Dahaga barangkali. Aku turut ke dapur. Dia minta ubat sakit urat. Aku belek barang dalam bakul. Jumpa. Aku bagi. Dia telan. Senyap. Sepi. "Abah". Aku mulakan bicara. "Hmmm". Dia balas. "Erm,,,selamat hari ayah". "Hmmmm." Lagi. Aku lari ke bilik. Seingat aku memang 'hmmmmm' itu paling banyak keluar dari mulut abah. Dia memang kurang cakap. Atau mungkin dia kurang cakap dengan aku. Aku banyak bicara dengan dia pakai mata. Bila dia jeling aku tahu dia marah. Bila dia tutup mata sambil dengar aku tahu dia sedang fikir alasan untuk aku tak buat sesuatu perkara. Begitu kami faham satu sama lain. Aku anak sulung. Puan Zarimah kata aku rapat dengan abah waktu masih ada gigi susu. Tapi bila kaki semakin panjang dan kaca mata semakin tebal, kami makin renggang. Mungkin sebab tak enak bicara hal gadis dengan abah. Tapi yang pasti dia tahu segala. Mungkin Puan Zarimah buka cerita. Seingat aku, tiap kali aku ada masalah aku pasti kalut telefon abah. Tak pernah dia biar tak berangkat. Jadi aku mahu jadi begitu untuk dia satu hari nanti.

Abah, untuk setiap titik lelah abah sara keluarga. Along titip rasa sayang. Sungguh tanpa seorang abah, along tak mungkin kenal apa maksud gigih dan ikhlas. Terima kasih atas segala. Terus berada damping along kerana memang senang untuk terlangkah silap. Tapi along tak bimbang. Sebab Encik Zuhaimi pasti datang pimpin ke jalan tak silap. Abah, sekali lagi. Selamat hari ayah. Esok kentut abah akan kembali tak wangi. Sila kentut di luar.

Pernah dulu sebelum bertemu bantal


Masa : Sedang assignment melambak-tambung.

Tempat : Tilam nipis di rumah bukan tetap 15 minit perjalanan dari tempat kuliah.

Keadaan diri : Rambut tidak bersikat, perut keroncong tidak berisi, mata pedih lelah berjaga.

Azam : Bila aku cuti nanti, aku mahu luang masa dengan Puan Zarimah. Mahu sembang pasal segala. Akan aku adu anak sulung ini terseksa berlelah payah cuba banggakan dia. Akan aku belek setiap helai buku resipi di dalam laci nombor tiga di dapur untuk siap jadi calon isteri hebat. Akan aku bantu Puan Zarimah urus kemas segala di rumah kaler merah muda di Pak Tuyu itu. Akan aku siapkan diri dengan bacaan ilmiah. Biar gagah tempuh dunia. Akan aku buat segala perkara.

***

Masa : Cuti

Tempat : Dinding empat segi kaler kuning.

Keadaan : Mungkin cantik.

Checklist azam : ..........................penulis masih tidur.

Tuesday 14 June 2011

Harus 18


Cuti itu harus tak lebih dari 2 bulan.

Tak Harus 4


Kamu si hamba. Apa guna langut hidung tinggi ke awan. Turun hujan lemas mati.



Thursday 9 June 2011

Saya bosan lalu saya tengok tv


Mungkin saya terlalu memandang rendah. Mungkin saya terlalu memandang jauh. Sungguh. Saya tak pernah tahu saya boleh jadi gila sebab kamu. Kenapa saya baru nampak kamu. Beginilah. Kamu memang hensem walau kamu mungkin sedikit tua. Sangat jarang untuk saya coret pasal orang dalam tv di blog ini. Tapi kamu. Ya, kamu. Kamu buat jantung saya sakit. Mr. Aaron Aziz, terima kasih sebab tak jadi polis. Terima kasih sebab masuk dalam tv. Terima kasih sebab datang Malaysia.

Kala masih ada gigi susu 3


Umur waktu itu 9 tahun. Sangat nakal. Mungkin sebab jarak umur saya dengan adik dan adik sangat dekat. Saya cuma mahu Puan Zarimah perasan saya. Saya ada basikal tak berapa baru tapi saya suka basikal saya. Tayar basikal saya banyak kaler. Yang saya ingat, ada kaler biru, merah, kuning. Hari itu Encik Zuhaimi demam. Dia elok berehat dalam bilik. Hari sudah kurang cerah. Saya tiba-tiba rasa mahu pergi kedai runcit Ah Beng. Saya cakap dengan Puan Zarimah. Puan Zarimah cakap jangan pergi. Tapi saya pergi juga. Saya kayuh basikal sampailah satu corner saya jatuh. Saya tongkat tangan kiri untuk tahan saya. Yang saya dengar bunyi "krak". Saya bangun. Cuba nak kibas baju dari debu tapi tangan kiri sakit. Tangan saya tak straight. Nampak pelik. Saya angkat basikal berlari balik rumah. Tunjuk tangan pada Puan Zarimah. Puan Zarimah tak cakap banyak terus kejutkan Encik Zuhaimi. Dia kata tangan saya patah. Tiba-tiba saya rasa sakit yang amat. Patah? Patah? Saya ulang perkataan itu banyak kali. Encik Zuhaimi dengan hidung merah hantar saya ke rumah tukang urut. Selepas itu ke klinik untuk x-ray. Balik rumah saya senyap je. Walau Puan Zarimah tak cakap apa-apa, saya tahu ini balasan sebab saya tak dengar cakap Puan Zarimah. Itu sebab sekarang saya tak pernah buat sesuatu sebelum Puan Zarimah tahu. Kata orang, mulut ibu masin. Kata saya, saya taknak patah tangan lagi.

Tuesday 7 June 2011

Tahi kuku


Kamu yang istimewa, kuku biar pendek. Jangan biar minda diprovok dengan helah kaler merah buat kuku kamu cantik. Kamu yang istimewa. Satu hari kamu akan kemudi keluarga. Kamu akan goreng ayam pedas, tumis sambal bilis, rebus jagung manis, kukus kek lapis. Makanan itu akan jadi darah daging keluarga kamu. Pendekkan kuku kamu supaya Insyaallah mereka akan dengar kata. Senang terima teguran dari kamu, ibu mereka. Pesannya mudah, pendekkan kuku kamu. Jangan sampai 2 cm yang kamu simpan jadi sebab anak-anak kamu 200 kali bangkah kamu.

TV sudah tak nampak menarik


Gagal mengawal rasa lalu hanyut. Hanyut terus. Rambut minta disyampoo. Mata rayu tidur. Perut keroncong minta isi. Mulut tagih sejalur senyum. Jiwa damba bernyawa. Apa kamu sudah tak mahu jadi manusia? Sendiri tanya. Jawab tiada. Gemanya ada tapi kurang jelas. Mungkin jawabnya ya. Mungkin tidak juga. Cukup. Diri bicara lagi. Tegas kali ini. Tersentak mata, terang kaca mata. Rasa lemas diapit dinding kuning empat segi. Lalu bangun mencari sebutir nasi. Dan cuti ternyata masih panjang.

Friday 3 June 2011

Jangan cakar aku lagi


Satu mak pesan. Jangan bodohkan diri sendiri. Pendek tak panjang. Tapi saya yakin saya akan selamat kalau saya pegang empat patah yang keluar dari mulut Puan Zarimah itu. Jadi saya tarik balik niat saya mahu buat kot dari bulu kucing. Kamu selamat buat kala ini poktam.