Lelaki itu pegang pasu berlilit reben merah hati kemas. Dia kira. Tiga. Dua. Satu. Sekarang. Laju dia menapak ke depan pintu kuning sebuah rumah batu. Dia letak pasu. Dia tekan loceng. Dia lari sembunyi di sebalik pokok mungkin mempelam. Keluar dia yang lelaki itu tunggu. Pasu diambil. Pintu ditutup. Lelaki itu puas. Sudah tiga minggu dia begitu. Tiga minggu dari pertama kali dia nampak gadis itu bersama gula gula kapas di taman tema. Sejak itu dia sembunyi hadiahkan bunga dalam pasu kepada gadis itu. Tiga minggu sudah cukup lama. Dia yakin sekarang gadis itu faham. Esok dia mahu gadis itu tahu siapa dia.
Esoknya..
Dia bersiap kemas hari ini. Pasu kemas di tangan. Dia melangkah yakin. Sampai di pintu kuning. Dia tekan loceng. Dia tunggu. Terdengar derap kaki. Pintu dibuka. Tapi bukan gadis itu. Jejaka kacak tegak memegang tombol pintu. lelaki itu tergaman. "Siapa?". Terdengar suara halus. Muncul gadis itu dengan sejambak mawar. Dia tak tunggu lama. Terus lelaki itu berlari. Sembunyi di belakang pokok yang sama. Menyandar di situ. Gadis itu tidak faham rupanya.
Dia pandang pasu berisi daisi di tangan. Ah daisi. Daisi, cinta tersembunyi. Kalau dia tahu, dia beli bunga mawar. Ini padah bila dia terlalu bersembunyi. Sepasu daisi dihempas ke tanah. Dia longlai menapak ke taman tema. Moga ada gadis makan gula gula kapas lagi.
No comments:
Post a Comment