Great power comes with a great responsibility. Itu orang puteh cakap. Kalau mahu dialih bahasa dalam konteks negara ke-9 paling ramah di dunia ini, ia akan berbunyi kalau berani bermain rebut kerusi maka perlu bersedia dengar bisikan rakyat yang mahu kesempurnaan. Untuk jadi begitu, pertama sekali perlu hapuskan konsep makan budi dan balas budi. Bila rakyat suarakan ada lubang pada dinding pemerintahan, jangan melulu melatah tuduh rakyat tak kenang budi. Sebab kami kenang budi maka kami mahu lubang tersebut ditampal biar nampak cantik. Konsep patriotik itu yang buat kami tunjukkan apa yang kami rasa tidak kena dengan environment negara kami. Mungkin mereka-mereka di atas tidak berapa nampak apa yang berlaku di tanah. Jadi kami-kami yang sedut debu tanah ini tolong beritahu. Jangan dilabel perkara yang patut diberi kepada rakyat sebagai budi kerajaan. Kalau kampung kami yang dulunya gelap gelita tepat jam lapan malam kembali terang dek lampu neon sebulan sebelum pilihanraya, kami-kami tak patut dibebankan dengan betapa besar budi yang ditabur itu. Lampu itu memang hak kami kerana kami tetap rakyat Malaysia yang patut terima cahaya sama cerah dengan pemandangan waktu malam KLCC walau kampung kami bersempadan dengan Siam. Mereka-mereka bersuara bukan bermakna mereka pandai. Tapi mereka ada tidak faham dengan sesetengah tindakan. Jadi, terangkan pemikiran kami dan bantu kami supaya faham. Tapi jangan dibodohkan kami-kami sebab kami-kami minum susu tambahan waktu sekolah. Jangan dilencong pandangan kami dari kenaikan harga minyak dengan isu siapa liwat siapa.
Waktu budak tujuh tahun bertanding untuk jawatan ketua kelas, seorang calon berjanji akan memastikan kelas akan sentiasa bersih dari kotoran. Senang kalau mereka-mereka yang konon makan banyak garam pun begitu. Saya mahu satu hari nanti untuk hidup udara bersih di tanah tercinta ini. Sungguh saya sayang Malaysia.
No comments:
Post a Comment