Sunday, 27 March 2011

Aku suka kalau kamu manusia biasa


Aku manusia biasa. Aku sedar akan kemanusiaan aku. Dibuang binti ini, tak berbapalah aku. Aku biasa cuma. Dipatah pengenalan diri, tidak bernegaralah aku. Aku tersangat biasa. Jadi aku tak harap kamu luar biasa. Datang dan cari aku sebagai manusia biasa. Jangan dinyanyi disyair janji Gunung Daik Bercabang Tiga. Kita berdua tahu kamu tak akan mampu. Lebih-lebih lagi kalau kamu kerja kerajaan. Jangan dijanji kasih seribu tahun. Kamu mungkin pergi muda. Lagi-lagi kalau kamu sedut hembus tiub bertar bernikotin bodoh itu. Jangan dijanji aku akan jadi yang pertama sebab aku hanya mahu jadi yang ketiga dalam hidup kamu. Biar yang pertama itu Yang Maha Esa. Kerana dengan itu baru aku yakin kamu sedar kamu manusia biasa. Biar yang kedua itu Puan Ibu, Emak, Ma, Mama. Kerana dengan itu aku yakin kamu akan menghormati aku sebagai Hawa. Aku sudah cukup suka jadi yang ketiga. Aku juga tidak kisah kalau satu hari aku perlu berkongsi tempat itu dengan mereka-mereka yang berbin dan berbintikan kamu. Usah dijanji bahagia dengan harta yang kamu mungkin ada. Malaysia mungkin akan jadi gawat. Harta kamu mungkin akan jadi tiada nilai. Ajar aku untuk bahagia cukup dengan kamu. Jangan dicanang paras fizikal kamu. Perut kamu mungkin jadi buncit. Kulit kamu mungkin bertambah gelap. Ajar aku untuk sayang kamu kerana secebis otot hati kamu. Jangan dibangga dengan machonya kamu. Cukup kalau kamu yakin untuk imamkan aku, azankan anak-anak kamu dan aku. Jangan dijanji setia kalau kamu tak mampu. Cukup untuk aku kalau kamu berusaha untuk setia dan jujur dengan aku. Aku manusia biasa. Aku tak harap lebih.

No comments: