Friday, 7 September 2012

Ini bukan cerita pasal singa dan kerbau


Sang Singa mengaum di atas singgahsana selepas dia dilantik menjadi raja rimba. Itik, memerang, sawa, kodok dan segala haiwan sebenarnya agak lega kerana akhirnya mereka akan ada tempat untuk dituju apabila mereka ada sedikit kemushkilan. Sang Singa pula memang tidak segan nak bagi penyelesaian bila ada yang datang minta kurangkan kegelisahan.

Satu hari, datanglah kerbau kepada Sang Singa. Dialog seperti di bawah:

Kerbau: Sang Singa, aku mahu diet sebab aku mahu kahwin bulan depan. Menurut pandangan kamu, apa yang aku patut buat dengan pengambilan makanan aku.

Sang Singa: Tahniah kerbau. Tapi aku rasa yang kau tak patut makan sayur-sayuran. Aku sarankan kau start makan steak well done pulak selepas ni. Macam aku, tough dan hebat sepanjang masa.

Kerbau: Baiklah Sang Singa. Terima kasih.

Masalahnya di sini, Sang Singa tak pernah tahu apa yang sayur-sayuran buat kepada tubuh badan sebab dia tak makan sayur. Jadi, ya mungkin nasihat yang diberi bagus, tetapi Sang Singa hanya buat-buat pandai. Tetapi bagi kerbau yang pandang tinggi akan Sang Singa, dia kan ikut nasihat Sang Singa bulat-bulat. Begitu cerita Siri Alam Rimba tamat.

***

Berhati-hati dengan apa yang kita tulis sebab mungkin ada orang yang base segala decision yang dia buat atas penulisan kita. Jangan terlalu berani nak tulis Kehidupan Selepas Berumahtangga contohnya bila kita hanya baru sebulan kahwin. Sebab segala fakta yang cuba kita tulis akan jadi tak lebih dari sebuah fiction.


p/s: Kalau saya nak tulis buku, saya akan tulis Cara untuk deal dengan mak membebel tanpa perlu jadi anak derhaka.

Saturday, 1 September 2012

Anak cikgu


Saya rasa, cikgu kat Malaysia ni ramai. Kat mana-mana pergi mesti ada cikgu. Kalau tak mak ayah cikgu, adik abang kakak cikgu. Kalau tak juga, kawan-kawan cikgu. Kalau tak juga, jiran-jiran cikgu. Mesti kita kenal sorang dua cikgu selain dari cikgu yang pernah mengajar kita.

Sebab apa kita kena ramai cikgu. Sebab makin ramai orang suka beranak. Makin ramai la student. Jadi, cikgu kena la ramai.

Sebab apa cikgu itu adalah manusia awesome? Sebab mak saya cikgu.

Kerja mak saya atas kertas : Pergi sekolah pukul tujuh balik pukul tiga.

Kerja yang mak saya buat:

Pukul enam pagi, bangun .

Sebelum pukul tujuh dah sampai sekolah sebab nanti ada perhimpunan pagi.

Pukul tujuh dua puluh minit sampai pukul tiga, perah anak tekak ajar budak-budak supaya jadi bijak pandai yang harapnya tak lupa diri lepas dah kerja besar-besar.

Hari Selasa, mak saya stay kat sekolah sebab petangnya ada latihan bola jaring. Paling hebat pun, dapat air sirap. Takde OT.

Hari Rabu, stay lagi kat sekolah sebab petangnya ada perjumpaan kokurikulum pulak.

Setiap minggu, mesti ada meeting. Macam-macam sebab meeting ni.

Mak saya jaga koperasi. Saya ulang, jaga. Maksudnya, duit untung masuk akaun sekolah. Segala hasil jual pensil tekan kat koperasi, mak saya tak usik sebab sekolah hanya bagi amanah untuk tolong gerakkan koperasi. Dan untuk bolehkan koperasi bergerak, setiap hari Sabtu, mak saya akan pergi beli barang kat Mydin. Pergi sendiri. Abah yang drive sebab ma tak tahu drive. Abah tak pernah merungut.

Adakalanya, mak saya jadi AJK hadiah bila ada majlis kat sekolah. Hadiah kena pergi beli sendiri. Bawa balik kat rumah, minta tolong anak-anak bungkuskan. Ya, bukan setakat tolong isi markah murid-murid je, anak-anak mak saya pun tolong buat macam-macam lagi. Baru sekarang merungut, selama ni gembira aje main bungkus-bungkus tupperware.

Setahun sekali. Adakalanya dua kali setahun akan ada perkhemahan perdana. Mak saya kena join. In fact, semua cikgu akan ada hari bertugas masing-masing. Kalau tak bertugas pun, duduk kat rumah bimbangkan student lagi-lagi kalau tiba-tiba hujan.

Setiap kali sebelum anak-anak murid dia nak ambik exam, mak saya akan doakan anak-anak murid dia semoga berjaya. Dia halalkan segala ilmu yang dia beri. Doa untuk murid sama panjang dengan doa untuk anak-anak dia.

***

Ya, mak saya cikgu. Cikgu bagi saya tetap hebat walau mak saya bukan salah seorang. Tapi, sebab mak saya cikgu, saya lebih tahu apa yang seorang cikgu buat sepanjang tahun. Orang luar hanya akan nampak, cikgu cuti banyaaaak. Yang mereka tak tahu, cikgu tu sepenuh masa. Macam kerja mak-mak. Mana mungkin mak-mak lupa anak-anak dia walau sekejap.

Mak saya dah buktikan kenapa saya perlu hormat cikgu.


p/s: Ada sekeping layang-layang dengan talinya. Kita namakan dia Katie. Katie ni special. Dia ditakdirkan dapat terbang tinggi. Jadi, Katie ni gembira. Semakin tinggi dia terbang semakin dia rasa macam hebat. Dia ejek burung-burung yang kena turun ke tanah juga sekali sekala nak cari cacing buat alas perut. Dia ejek awan yang kadang-kadang perut berat bawak air hujan. Dia ejek semua orang sebab dia boleh terbang tinggi. Jadi, satu hari, dengan angkuhnya dia mahu terbang sendiri. Dia putuskan ekor dia dengan tali sebab dia rasa tali halang dia untuk terbang lagi tinggi. Tapi, yang Katie tak tahu, sebab tali lah dia boleh terbang. Sebab tali yang banyak menyokong di bawah. Sebab tali yang ada di belakang menyokong Katie. Sebab tali lah, Katie boleh ke bulan. Jadinya, jatuh lah Katie ke tanah. Menyesal pun dah tak ada faedah.


Kisah saya dengan ular dengan kambing Part 2


Cerita bersambung.


Ya. Ular sawa tu boleh lepaskan diri. Laju dia mengengsot masuk dalam semak samun. Saya waktu tu trauma tengok hujung ekor ular meliuk-meliuk. Lepas dah kurang rasa kagum, semua orang baru teringat pasal kambing yang kegelisahan tadi.

Memang kambing tu terlepas dari perut sawa tapi kalau dah namanya ajal, kambing itu pergi juga. Mati terbaring. Pak Ngah Ali kebumikan kambing. Selepas peristiwa itu, kurang sikit kami-kami main tembak-tembak polis lawan pencuri. Banyaknya kami main masak-masak.

Seminggu selepas itu, saya macam dah hilang sikit rasa takut terhadap semak samun, Pak Ngah Ali ajak saya dan sepupu-sepupu buat aktiviti mingguan kami. Masuk hutan. Dulu, sebelum UMT teroka tanah, ada anak sungai dalam hutan tu. Dan bila kita merentas sungai, akan ada tanah lapang. Kat tanah lapang tu, ada pokok rambutan. Tak tahu siapa yang tanam sebab memang jarang untuk manusia pergi kat kawasan itu kecuali kami-kami yang suka main dengan tanah ni.

Hari itu, seperti biasa. Sebelum masuk hutan, Ma suruh tanggalkan rantai emas yang saya pakai sebab saya dah pernah hilangkan gelang kaki bila balik dari menebas hutan. Berjalan dalam barisan saya dan sepupu-sepupu. Pak Ngah Ali di depan. Macam biasa tapi yang saya tak tahu, saya akan alami satu lagi pengalaman yang sangat rare yang akan buat saya ingat hari itu sampai bila-bila.

Ingat lagi pasal ular sawa semalam? Ya, hari itu kami jumpa sarang ular sawa itu dan ular sawa tu dah mati. Mungkin sebab kempunan nak makan daging kambing. Mungkin juga sebab sedih dah jadi ular sawa kurang upaya selepas hilang sedikit ekor digigit Pak Ngah Ali.

Tapi sayangnya, itu bukan zaman kanak-kanak asyik pegang henfon kat tangan. DSLR pun orang tak tahu lagi masa tu. Jadinya, semua peristiwa hanya ada kat dalam memori. Tiada bukti bergambar yang boleh ditunjuk kat anak cucu satu hari nanti.

Sungguh, saya sayang zaman kanak-kanak saya. Sebab memang Ma dengan Abah benarkan saya untuk jadi kanak-kanak sepuas hati saya. Saya buat banyak benda yang buat saya rasa tak ada rasa menyesal bila saya dah dewasa sikit ni. Tapi, sayangnya semua benda yang saya buat tu benda yang budak lelaki buat sebab sepupu-sepupu saya ramainya yang lelaki. Jadilah saya gadis perkasa yang tak boleh nak kawal ketawa.


***
Kalaulah saya banyakkan main masak-masak dari main 'bola katok', mesti saya tak kekok pegang sudip kat dapur hari ini. Haishhh.


p/s: Pak Ngah Ali dah arwah pun sekarang.

p/s lagi: Pak Ngah Ali banyak ajar saya macam mana nak hidup.

p/s lagi: Setiap kali kalu saya nak balik ke universiti, Pak Ngah Ali akan usap kepala saya sambil doakan yang baik-baik untuk anak sedara dia ni.


Friday, 31 August 2012

Kisah saya dengan ular dengan kambing Part 1


Tahun nya 1999 mungkin. Masa tu UMT orang masih panggil KUSTEM lagi. Masa tu, banyak lagi semak belukar tak diteroka. Saya dengan sepupu-sepupu masih boleh main tembak-tembak kat dalam tanah simpan KUSTEM. Belukar yang saya cakap ni, memang belukar tahap hutan punya. Yang kalau kita sesat, kita boleh survive dengan minum air sungai, makan rambutan kaler kuning yang merimbun.

Nak ceritanya betapa bestnya zaman kanak-kanak saya, saya kena mulakan dengan bapa saudara saya, Pak Ngah Ali bela kambing. Jadi adakalanya kambing-kambing ni akan merayap sampai ke dalam pagar KUSTEM sebab banyak pohon-pohon hijau kat dalam sana yang boleh buat spesis kambing gembira.

Satu hari, seekor kambing tak pulang-pulang. Pak Ngah Ali dah bimbang. Ke mana pula perginya, bisik hati Pak Ngah Ali. Dan, melangkahlah Pak Ngah Ali ke sempadan KUSTEM. Terintai-intai. Tercari-cari. Tiba-tiba, terdengar teriakan kambing. Embek... embeeekkkk

Hanya suara saja yang dengar. Kambing itu memang kita tak akan nampak sebab dia ada dalam perut ular sawa. Literally! Ular sawa tu membusung sebab memang dia telan kambing tu in one bite. Takde nak cut to small pieces dulu.

Riuh la satu kampung. Ular sawa makan kambing. Saya waktu tu first time tengok kambing dalam perut ular. Dan kambing masih mengembek. Ular sawa tu dah digari. Sepuluh orang pegang ular sawa. Sepuluh orang tu ada bapa saudara saya, ada bapa saudara sabit, ada sepupu-sepupu, ada saudara bau-bau bacang.

Nak pendek cerita, ular sawa luahkan balik kambing yang nyawa-nyawa ikan. Tapi masih mengembek. Dan ular tu pulak menggelupur nak lepaskan diri. Entah macam mana, Pak Ngah Ali yang pegang hujung ekor ular tu, gigit ekor ular sampai putus sikit. Ular tu terlepas.....


Bersambung. Mak suruh jemur baju.

Tiga jeritan


Hari ini tiga puluh satu ogos. Hari ini hari merdeka. Jadi, macam nak cakap pasal pengorbanan.

Saya mungkin tak faham sangat apa itu pengorbanan. Yelah. Saya ni budak-budak lagi. Mana pernah tentang mata komunis dalam belukar waktu sedang gali ubi kayu nak buat rebus makan cicah dengan kelapa parut. Mana tahu erti kehilangan suami, anak, abang, adik yang angkat senapang berjuang di sempadan. Itu, kata mereka-mereka yang dah berusia pada budak yang hanya tahu bersorak Malaysia Boleh bila Chong Wei kat final Olimpik macam saya ni. Tak patriotik kamu ni, kata mereka lagi.

Ya pakcik. Saya tak pernah angkat senapang. Ya makcik. Saya tak pernah jumpa komunis. Ya pakcik makcik. Saya mungkin tak patriotik.

Saya tak tahu pasal pengorbanan. Yang saya tahu, saya hargai jasa mak saya tak tidur malam dodoikan saya bila saya masuk hospital. Yang saya tahu, saya berterima kasih kat ayah saya yang ke hulu ke hilir cari nafkah besarkan saya.

Ya, mungkin lambat lagi untuk saya betul-betul hargai apa yang negara ni dah beri pada saya. Tapi, saya nak bermula dengan benda yang paling dekat dengan saya. Biar saya belajar untuk hargai mak ayah saya untuk hari ini. Mana tahu tiga puluh satu ogos tahun depan, saya akan belajar hargai kampung saya pula. Tahun depannya, negeri saya. Dan, insyaallah, satu hari saya akan betul-betul sayang akan negara saya yang terchenta ini.



***
Mungkin saya belum sepenuhnya cinta, tapi mana mungkin saya tak hargai negara yang bolehkan saya minum tepeng makan tomyam setiap hari. Betul kata orang, nak tambat hati kena lalu ikut perut. Jadi, Malaysia, terima kasih sebab ada makanan sedap.


p/s: Merdeka. Merdeka. Merdeka.


Thursday, 30 August 2012

Pakai baju biru main bola sepak.


Perenggan pengenalan. Cerita di buka dengan Selamat Hari Raya dan Selamat menyambut Hari Merdeka.


Sebab dah habis belajar, saya duduk di rumah. Menganyam mimpi untuk berjaya. Ya, berfikir bagaimana mahu bahagiakan ibu bapa. Masih lagi berfikir. Tapi itulah sajalah yang dibuat. Berfikir. Bertindaknya, belum lagi setakat ini. Jadi, masa lapang memang menimbung kala ini.

Satu hari, sebab bosan, saya belek-belek list drama korea baru untuk tonton apabila tak bersembang dengan Ma. Terserempaklah saya dengan 'Reply Me, 1997'. Tak ada pelakon maha femes macam Hero Winter Sonata atau Hero Autumn in My Heart. Cuma ada Abang Seo In Guk kita.

Cerita pasal cinta, obviously. Ini drama korea. Genre bunuh-bunuh pun harus ada elemen cinta selit kat mana-mana scenes. Cerita ni dia ulang-alik tahun sekarang dengan tahun 1997. Cerita pasal kenangan. Cerita pasal dua orang kawan baik yang memang dari kecil bersama. Cerita pasal cinta pertama. Cerita pasal cinta nombor dua. Cerita pasal cinta anak dan ayah. Cerita pasal cinta bini kepada laki. Cerita pasal cinta adik kepada abang. Cerita ni pun belum habis, jadi cuma nak recommend tengok cerita ni. Sebab cerita ni memang hensem tahap ayah saya lah!


Lepas tengok cerita ni, saya pun macam terimbau kat crush mula-mula sekali. Macam kebanyakkan orang rasanya, umur sebelas saya ada suka kat satu lelaki. Kawan satu sekolah. Kawan sedarjah. Dia tinggi untuk laki-laki sebaya dia. Dia pengawas tahu. Pakai baju biru. Nampak osem kat mata saya. Dia main bola sepak. Saya main bola jaring. Gitu.

Tapi itulah, dah namanya pun crush, memang takat puja dalam hati je lah. Yelah, dengan kaca mata bentuk hexagon kaler purple metallic tu, stokin sebelah kaler kelabu, sebelah kaler putih, naik basikal tayar belang tiga kaler, memang tak pernah terfikir la pasal ai-lap-yu-yu-lap-ai ni. Nama pun budak-budak. Suka sebab dia nampak macam paling hebat kat sekolah je. Takdelah sampai teringat-ingat bila sedang tonton Power Rangers pun.

Memori. Ya, semua tu satu memori. Memori yang saya dah tak malu nak cerita. Kalau dulu, mahu tercabut rantai basikal siapa-siapa yang pecahkan rahsia ni. Tapi, sekarang, saya dah boleh gelak bila orang sebut pasal ni. Sebab, dah sepuluh tahun pun.

Ermm, macam tak boleh nak tutup aje cerita hari ini.

Jadi, saya akhiri dengan apa yang selalu Ma saya pesan.
"Doksoh la ngorat-ngorat. Sapa masa, Ma bui hok hebak skali ke along".


***
Mahu cakap pasal perlunya hargai moments yang ada sekarang sebelum dia jadi memori. Tapi, tak tahu kenapa terbuka cerita pasal budak pengawas segala. Maaf.

p/s: Saya sayang Ma.

p/s lagi: Maaf juga sebab ter quote pesanan yang tak berkaitan dari Ma saya. Bila berada di rumah, memang akan sentiasa ter quote mak sendiri.

Wednesday, 15 August 2012

Ketupat Pak Tuyu


Dah agak lama arwah pergi. Tapi aku masih tak boleh berhenti dari menulis pasal arwah. Mungkin sebab ada rasa terkilan yang aku tahu tak akan aku mampu tebus sampai bila-bila. Lebih-lebih lagi bila nak raya ni. Sangat-sangat terasa hilangnya arwah.

Arwah buat ketupat paling sedap dalam dunia. Ketupat arwah besar-besar. Makan satu pagi, boleh kenyang sampai tengah hari kalau ikut perut aku. Dengan tangan yang tak berapa gagah tu, arwah punya ketupat tetap kemas.

Arwah yang ajar aku pergi tarawikh. Dulu, masa kecil-kecil, aku tinggal dengan arwah. Dia selalu heret aku ke surau dua puluh langkah perjalanan dari rumah untuk tarawikh. Dan, walaupun separuh dari masa di surau aku habiskan dengan main teng-teng senyap-senyap dengan jiran sekampung, tapi sebab arwah, tarawikh itu jadi kebiasaan, bukan kesusahan.

Baju raya arwah selalunya baju kurung kedah. Seingat aku, aku tak pernah nampak arwah berbaju kurung. Memang baju kurung kedah dengan kain batik. Pernah juga, dulu-dulu kami berbaju sedondon. Baju kaler pink bintik-bintik hitam.

Arwah tak letak duit raya dalam angpau. Dia bagi duit raya kat semua cucu-cucu tak kira yang tua yang muda yang dah berbini yang belum bersuami. Semua yang bersalam dengan arwah akan dapat duit raya. Dan kalau nasib baik akan dapat duit raya dua kali. Sebab arwah sedikit nyanyuk.

Setiap kali raya, arwah akan cakap "Tahun depang dok tau la jupe ke dok lagi raya". Setiap tahun, arwah akan cakap begitu. Setiap tahun tak pernah lupa. Setiap tahun. Sampailah satu tahun, ia jadi kali terakhir arwah cakap begitu.

Memang manusia hanya akan sedar yang dia ada sesuatu yang berharga bila sesuatu itu dah tak ada. Lumrah. Tapi, tolonglah. Tolong hargai mereka yang ada di sisi.

Hargai ibu biar dia suka bebel tak henti-henti. Hargai ayah biar dia adakalanya sangat garang. Hargai adik biar mereka suka pinjam baju kita tapi tak cakap. Hargai kakak biar mereka suka suruh kita buat air milo. Hargai abang biar mereka suka pau duit kita. Hargai mak bapak saudara biar mereka suka tanya bila kita nak kahwin.



Hargai nenek biar adakalanya dia suka cerita kisah yang sama berulang kali. Sebab, bila mereka dah tak ada, baru kita tahu. Yang kita sebenarnya rindu dengan semua benda yang kita rasa annoying tu.


***
Tak lama lagi dah nak raya.
Al-Fatihah.