Showing posts with label konon tahu. Show all posts
Showing posts with label konon tahu. Show all posts

Monday, 11 November 2013

Tolonglah jadi kelakar balik, Running Man


Bila something tu dah jadi terlalu mainstream, adakalanya dia akan hilang that 'thing' yang buat dia unik in a certain way. Macam ada orang, mata sipit dia yang buat dia nampak suwit terutamanya bila dia 'smize' bak kata Tyra Banks. Tiba-tiba dia dah tak suwit bila dia decide untuk operate mata dia buat jadi besar.

Ada satu rancangan ni. Potensi dia besar start dari episod satu lagi. Interactions between casts adalah di tahap yang marbeles. Dan dia sangat jujur nak hiburkan penonton. Dari hari ke hari, dia semakin mendapat sambutan. Dan sampai satu tahap dia dah jadi terlalu besar sampai semua orang nak promote dia punya movie/drama kat show ni. Dan di sinilah bermula segalanya. The main objective bukan lagi show itu sendiri tapi lebih kepada nak alih spotlight ke guest yang datang.

Ya, perubahan itu perlu. Arghhh, sudahlah. Sedang tunggu episod 171 ni. Harapnya, masih ada beberapa saat yang boleh buat kita ketawa.

Just my 'samah'.

***
Dan bila kecewa dengan episod 170.

*smize - smile with eyez
*samah - lima posen
*Just my samah - Just my two cent

Saturday, 13 July 2013

Random post menahan lapar walau baru pukul lapan.


Ayat paling tercliche nak akhiri sebiji novel jiwang di toko-toko buku berbunyi,

"Tuhan, sungguh aku berterima kasih di atas kebahagiaan yang diberi ini. Baru kini aku mengerti yang sebelum datangnya pelangi, hujan terlebih dulu menjelma. Aku bersyukur dengan cinta dan kasih yang diberi"

dengan sedikit improvasi bergantung kepada pengetahuan tentang kosa kata penulis.

***
Dan mereka pun diadaptasi ke kaca teevee. Dan mereka pula dijadikan pilem. 


p/s: Penulis skrip gembira.

Tuesday, 12 February 2013

Reverse Psikologi Yang Kurang Menjadi


Ada satu garisan. 
Garisan ini sangat halus.
Sehalus lidi diracak sepuluh.
Di belah kanan, unsur nasihat.
Di sebelah kiri mengata tepat ke hati dup dap dup dap.
Tak salah nak saling beringat.
Nabi pun galakkan buat.
Tapi yang tak berapa nak sedap.
Ialah bila nasihat tak diambil inti.
Yang lebih gedabak nampak, terasa hati.

***
Harapnya satu hari nanti tak adalah kaum kerabat yang mengata jadi seperti yang dikata. 


p/s: Sekembung-kembung belon, anak-anak suka juga. 


Thursday, 25 October 2012

Selamat Hari Raya Aidil Adha


Esok, ma dengan abah ada sembelih lembu. Lembu tu pakcik-tak-tahu-apa-nama-dia hantar dengan lori petang tadi. Lembu itu adalah sangat hitam dan sangat garang. Beliau dah tak makan walaupun disua rumput segar dengan cara berhemah. Saya mungkin faham perasaan dia. Yelah, esok dia dah nak kena kreeeettt (Cakap dengan pitch tinggi sambil buat aksi heret tangan kat leher sendiri). Macam tu juga saya rasa bila nak test kereta, setiap kali nak kena present, bila kena goreng ayam, bila ada cicak dalam toilet, bila kilat sabung-menyabung. Takut yang sama mungkin kami berdua rasa.

Esok hari raya. Selamat Hari Raya Aidil Adha.

***
Logik itu penting. Kadang-kadang, tak cukup kepala nak garu dengan tindakan sesetengah manusia. Contoh mudah, cerita keling di hari raya. Pemandu belok kiri kanan tak bagi signal. Orang pakai kaca mata hitam dalam supermarket di siang hari dengan ribuan nyalaan lampu. Orang yang suka buat ulasan filem sewaktu SEDANG menontong wayang. Orang suka potong line satu barisan. Banyak lagi tapi rasanya yang paling tak logik ialah orang yang tak suka minum teh ais, ini adalah sangat tidak logik.

p/s: Ini contoh post yang kurang ciri logik, tapi ada perkataan lembu, agaknya masuk lah tu dengan tema Raya Aidil Adha.


Friday, 7 September 2012

Ini bukan cerita pasal singa dan kerbau


Sang Singa mengaum di atas singgahsana selepas dia dilantik menjadi raja rimba. Itik, memerang, sawa, kodok dan segala haiwan sebenarnya agak lega kerana akhirnya mereka akan ada tempat untuk dituju apabila mereka ada sedikit kemushkilan. Sang Singa pula memang tidak segan nak bagi penyelesaian bila ada yang datang minta kurangkan kegelisahan.

Satu hari, datanglah kerbau kepada Sang Singa. Dialog seperti di bawah:

Kerbau: Sang Singa, aku mahu diet sebab aku mahu kahwin bulan depan. Menurut pandangan kamu, apa yang aku patut buat dengan pengambilan makanan aku.

Sang Singa: Tahniah kerbau. Tapi aku rasa yang kau tak patut makan sayur-sayuran. Aku sarankan kau start makan steak well done pulak selepas ni. Macam aku, tough dan hebat sepanjang masa.

Kerbau: Baiklah Sang Singa. Terima kasih.

Masalahnya di sini, Sang Singa tak pernah tahu apa yang sayur-sayuran buat kepada tubuh badan sebab dia tak makan sayur. Jadi, ya mungkin nasihat yang diberi bagus, tetapi Sang Singa hanya buat-buat pandai. Tetapi bagi kerbau yang pandang tinggi akan Sang Singa, dia kan ikut nasihat Sang Singa bulat-bulat. Begitu cerita Siri Alam Rimba tamat.

***

Berhati-hati dengan apa yang kita tulis sebab mungkin ada orang yang base segala decision yang dia buat atas penulisan kita. Jangan terlalu berani nak tulis Kehidupan Selepas Berumahtangga contohnya bila kita hanya baru sebulan kahwin. Sebab segala fakta yang cuba kita tulis akan jadi tak lebih dari sebuah fiction.


p/s: Kalau saya nak tulis buku, saya akan tulis Cara untuk deal dengan mak membebel tanpa perlu jadi anak derhaka.

Saturday, 1 September 2012

Anak cikgu


Saya rasa, cikgu kat Malaysia ni ramai. Kat mana-mana pergi mesti ada cikgu. Kalau tak mak ayah cikgu, adik abang kakak cikgu. Kalau tak juga, kawan-kawan cikgu. Kalau tak juga, jiran-jiran cikgu. Mesti kita kenal sorang dua cikgu selain dari cikgu yang pernah mengajar kita.

Sebab apa kita kena ramai cikgu. Sebab makin ramai orang suka beranak. Makin ramai la student. Jadi, cikgu kena la ramai.

Sebab apa cikgu itu adalah manusia awesome? Sebab mak saya cikgu.

Kerja mak saya atas kertas : Pergi sekolah pukul tujuh balik pukul tiga.

Kerja yang mak saya buat:

Pukul enam pagi, bangun .

Sebelum pukul tujuh dah sampai sekolah sebab nanti ada perhimpunan pagi.

Pukul tujuh dua puluh minit sampai pukul tiga, perah anak tekak ajar budak-budak supaya jadi bijak pandai yang harapnya tak lupa diri lepas dah kerja besar-besar.

Hari Selasa, mak saya stay kat sekolah sebab petangnya ada latihan bola jaring. Paling hebat pun, dapat air sirap. Takde OT.

Hari Rabu, stay lagi kat sekolah sebab petangnya ada perjumpaan kokurikulum pulak.

Setiap minggu, mesti ada meeting. Macam-macam sebab meeting ni.

Mak saya jaga koperasi. Saya ulang, jaga. Maksudnya, duit untung masuk akaun sekolah. Segala hasil jual pensil tekan kat koperasi, mak saya tak usik sebab sekolah hanya bagi amanah untuk tolong gerakkan koperasi. Dan untuk bolehkan koperasi bergerak, setiap hari Sabtu, mak saya akan pergi beli barang kat Mydin. Pergi sendiri. Abah yang drive sebab ma tak tahu drive. Abah tak pernah merungut.

Adakalanya, mak saya jadi AJK hadiah bila ada majlis kat sekolah. Hadiah kena pergi beli sendiri. Bawa balik kat rumah, minta tolong anak-anak bungkuskan. Ya, bukan setakat tolong isi markah murid-murid je, anak-anak mak saya pun tolong buat macam-macam lagi. Baru sekarang merungut, selama ni gembira aje main bungkus-bungkus tupperware.

Setahun sekali. Adakalanya dua kali setahun akan ada perkhemahan perdana. Mak saya kena join. In fact, semua cikgu akan ada hari bertugas masing-masing. Kalau tak bertugas pun, duduk kat rumah bimbangkan student lagi-lagi kalau tiba-tiba hujan.

Setiap kali sebelum anak-anak murid dia nak ambik exam, mak saya akan doakan anak-anak murid dia semoga berjaya. Dia halalkan segala ilmu yang dia beri. Doa untuk murid sama panjang dengan doa untuk anak-anak dia.

***

Ya, mak saya cikgu. Cikgu bagi saya tetap hebat walau mak saya bukan salah seorang. Tapi, sebab mak saya cikgu, saya lebih tahu apa yang seorang cikgu buat sepanjang tahun. Orang luar hanya akan nampak, cikgu cuti banyaaaak. Yang mereka tak tahu, cikgu tu sepenuh masa. Macam kerja mak-mak. Mana mungkin mak-mak lupa anak-anak dia walau sekejap.

Mak saya dah buktikan kenapa saya perlu hormat cikgu.


p/s: Ada sekeping layang-layang dengan talinya. Kita namakan dia Katie. Katie ni special. Dia ditakdirkan dapat terbang tinggi. Jadi, Katie ni gembira. Semakin tinggi dia terbang semakin dia rasa macam hebat. Dia ejek burung-burung yang kena turun ke tanah juga sekali sekala nak cari cacing buat alas perut. Dia ejek awan yang kadang-kadang perut berat bawak air hujan. Dia ejek semua orang sebab dia boleh terbang tinggi. Jadi, satu hari, dengan angkuhnya dia mahu terbang sendiri. Dia putuskan ekor dia dengan tali sebab dia rasa tali halang dia untuk terbang lagi tinggi. Tapi, yang Katie tak tahu, sebab tali lah dia boleh terbang. Sebab tali yang banyak menyokong di bawah. Sebab tali yang ada di belakang menyokong Katie. Sebab tali lah, Katie boleh ke bulan. Jadinya, jatuh lah Katie ke tanah. Menyesal pun dah tak ada faedah.


Friday, 18 May 2012

Panduan Menjadi Manusia for Dummies


Tajuk khutbah: Budi bahasa.

Budi-bahasa ini subjektif. Jadi, lain orang mungkin akan ada sedikit beza cara mereka interpret apa itu budi-bahasa. Mungkin juga saya salah tapi cuma nak kongsi apa yang saya faham tentang budi-bahasa.

1. Setiap kali mahu minta tolong orang, jangan minta dalam ayat berbentuk suruhan atau ayat perintah. Mulakan dengan "Kalau tidak menyusahkan, bolehkah saya mahu minta tolong.........".

2. Akhiri setiap pertolongan dengan ucapan TERIMA KASIH. Lagi cantik kalau diiringi dengan senyuman dan ajakan untuk makan time lunch hour kat Kedai Makan Ani Ayam Kampung.

3. Jangan sesekali treat barang-barang orang lain macam barang kita. Kalau kita pinjam sarung bantal misalnya, pastikan kita guna untuk sementara sahaja dan bukannya terus dijadikan simpanan selama satu semester. Juga, basuh sarung bantal itu. Letak Downy. Lipat selepas ia kering dan serahkan kembali kepada tuan yang punya. Kalau kita boleh bersua muka waktu proses meminjam, buat perkara yang sama waktu proses pemulangan.

4. Ayat "Nak rasa sikit, boleh?" itu adalah untuk dua teguk air atau sesudu nasi goreng. Jangan hirup sampai hilang rasa dahaga dan jangan makan sampai sendawa tiga kali.

5. Jangan buat bising dalam kawasan orang lain. Kalau kita kelas 5 Cerdik, jangan pergi buat bising kat kelas 5 Cerdas. Lagi bagus, buat bising dalam hati.

6. Makcik-makcik patut dapat tempat duduk dalam semua kenderaan awam. Angkat bontot, bangun dan bagi mereka duduk.

7. Senyum pada Makcik Floor Manager lagi mulia dari senyum kat laki-laki ajnabi.

8. Jangan berbangga diri bercakap pasal manner yang kita buat. Itu akan menunjukkan yang kita bukan ada manner tapi kita cuma takabur riak bangga dirii suka menunjuk.

Khutbah tamat. Bolehlah ke belakang. Ada sirap ais dengan karipap inti daging.

Monday, 2 April 2012

Bapak dia ada syarikat besar.


Pengarah besar pegang mikrofon berucap di depan. Teks ucapan berbunyi " saya, hari ini ingin melantik Farah, anak saya untuk mengetuai bahagian __________. Saya berbuat demikian bukan kerana dia berbintikan saya, tapi kerana saya yakin yang dia boleh buat. Jadi, saya harap semua boleh bagi sokongan kepada Farah sebab syarikat ini syarikat kita". Teks ucapan tamat.

***

Wah. Ingat situasi ini hanya berlaku dalam filem Direktor konon Professor saja. Tak sangka boleh bertemu situasi ini di dunia realiti. Saya percaya sekarang yang direktor-direktor filem melayu buat research dulu sebelum mereka terbit satu-satu filem.

Mungkin bukan salah mereka filem melayu adakalanya tak hebat. Mungkin sebab mereka tak pernah nak buat research pasal hidup orang-orang yang penuh rempah. Tiada siapa yang nak buat cerita pasal Pak Abu, nelayan laut dalam. Pergi pagi, balik malam. Malamnya, menebar roti canai buat tambah pendapatan untuk buat kirim pada anak di UiTM Shah Alam ambil pengajian ukur bahan. Bini nama Mak Limah. Pandai buat karipap inti ubi campur daging.

Tak ada yang nak ambil peduli pasal cerita mereka. Semua nak cerita pasal keluarga Dato' ada lima orang orang gaji, anak-anak mesti rasa kurang kasih sayang lalu terjebak dalam dunia liar kotaraya. Walau kalau ikut logiknya, Pak Abu itu mewakili 50 peratus dari rakyat Malaysia. Rakyat yang biasa, yang cuba untuk hidup gembira setiap hari.

Cuba berhenti dari memandang terlalu tinggi. Berhenti dan tunduk kebawah. Mana tahu, yang penuh debu tanah ini boleh bagi satu pengalaman luar biasa untuk kita-kita.


p/s: Kalaulah encik Zuhaimi ada kilang budu. Kalaulah.

Monday, 6 February 2012

Telur Separuh Masak


Bagus anak muda hari ini, mereka suka dengar dan baca mengenai agama Islam. Ini hebat. Mereka mahu belajar. Tambahan, hari ini senang untuk belajar. Tak perlu hantar gula sekilo pada tok guru untuk suruh terima jadi anak didik, hanya perlu klik-klik saja.

Tapi, masalah bila mereka terlalu melulu jatuhkan hukum berdasarkan dua jam masa mereka luang belek-belek laman maya. Ada sebab kenapa bukan semua orang boleh keluarkan fatwa. Mereka-mereka yang bagi ilmu itu bukan setakat belajar Pendidikan Islam sampai Tingkatan Lima, mereka merantau untuk menuntut ilmu. Bukan mahu larang berkongsi ilmu tapi ajar diri untuk jangan terlalu melulu. Sentiasa rujuk pada yang lebih arif sebab mereka rujuk kitab bila bagi ilmu pada kita sedang kita rujuk komputer.


p/s: Sedang dengar Ustaz Azhar Idrus. Tiada langsung niat mahu promote beliau.

Monday, 2 January 2012

Orang tua, tapi banyak makan gula.


Satu silap masyarakat hari ini adalah membenarkan usia muda jadi satu alasan untuk setiap tindakan bodoh di'okey'kan.

Contoh mula.

1. Alah, Mamat tu muda lagi. Biarlah dia nak merempit dulu. Nanti dah besar dah beli kereta takkan nak merempit lagi nye.

2. Orang muda begitulah. Kalau tak pukul 12 tengah hari, takkan la nak bangun tidur. Nanti dah tua sikit, tahulah dia nak bangun awal.

3. Siti tu muda. Memanglah dia nak pakai seksi-seksi sikit. Trend sekarang kan memang pakai baju 2 saiz lebih kecik dari saiz sebenar. Biarlah dia. Nanti dah besar, pandailah dia.

4. Buat apalah nak bersemangat sangat mahu ambil kisah pasal negara ni. Kamu tu muda lagi. Gigi susu still ada pun sibuk nak share pandangan dengan kami yang banyak telan garam nih.

Contoh tamat.


***
Orang muda urat masih kuat. Tulang masih banyak kalsium. Mata masih cerah. Gunakanlah. Bina potensi diri mereka. Biar mereka gagah jadi benteng. Biar kukuh jadi akar. Biar geliga jadi pemimpin. Beri peluang untuk mereka pula makan garam. Janganlah asyik diberinya gula-gula suruh jangan anak muda teriak.

Sunday, 30 October 2011

Jangan sebab satu tumbukan, dua-dua tangan disalahkan.


Saya orang Terengganu. Saya tak makan ikan.
Saya orang Terengganu. Saya tak pandai pakai kain batik.
Saya orang Terengganu. Saya takut ombak.


Janganlah mudah sangat nak mensterotaipkan orang bhai dan behen. Selidik penyebabnya. Jangan jadi hingus. Orang hembus, kita keluar. Orang sedut, kita masuk. Setiap wacha wacha kungfu Jackie Chan mesti ada pengarah aksi di belakang tabir. Bukan nak menyokong tindakan yang hitam. Membantah yang putih. Cuma, nak minta jangan terlalu melulu tulis surat saman.


p/s: Bendera itu memang kain. Kain yang ada cat kaler-kaler. Tapi setiap urat sendi akan jadi membara kalau bendera itu jadi bara. Jadi, walau kain bercat itu bukan kamu punya, tolonglah ada hormat sikit bila main dengan urat dan sendi orang lain. Sebab takut urat sendi orang lain terseliuh nanti. Peace. Saya sayang seisi Malaysia. Ditulis di tepi pantai Rantau Abang sambil makan kerepok lekor.

Tuesday, 24 May 2011

Malaysia, kamu sayang saya tak?


Great power comes with a great responsibility. Itu orang puteh cakap. Kalau mahu dialih bahasa dalam konteks negara ke-9 paling ramah di dunia ini, ia akan berbunyi kalau berani bermain rebut kerusi maka perlu bersedia dengar bisikan rakyat yang mahu kesempurnaan. Untuk jadi begitu, pertama sekali perlu hapuskan konsep makan budi dan balas budi. Bila rakyat suarakan ada lubang pada dinding pemerintahan, jangan melulu melatah tuduh rakyat tak kenang budi. Sebab kami kenang budi maka kami mahu lubang tersebut ditampal biar nampak cantik. Konsep patriotik itu yang buat kami tunjukkan apa yang kami rasa tidak kena dengan environment negara kami. Mungkin mereka-mereka di atas tidak berapa nampak apa yang berlaku di tanah. Jadi kami-kami yang sedut debu tanah ini tolong beritahu. Jangan dilabel perkara yang patut diberi kepada rakyat sebagai budi kerajaan. Kalau kampung kami yang dulunya gelap gelita tepat jam lapan malam kembali terang dek lampu neon sebulan sebelum pilihanraya, kami-kami tak patut dibebankan dengan betapa besar budi yang ditabur itu. Lampu itu memang hak kami kerana kami tetap rakyat Malaysia yang patut terima cahaya sama cerah dengan pemandangan waktu malam KLCC walau kampung kami bersempadan dengan Siam. Mereka-mereka bersuara bukan bermakna mereka pandai. Tapi mereka ada tidak faham dengan sesetengah tindakan. Jadi, terangkan pemikiran kami dan bantu kami supaya faham. Tapi jangan dibodohkan kami-kami sebab kami-kami minum susu tambahan waktu sekolah. Jangan dilencong pandangan kami dari kenaikan harga minyak dengan isu siapa liwat siapa.

Waktu budak tujuh tahun bertanding untuk jawatan ketua kelas, seorang calon berjanji akan memastikan kelas akan sentiasa bersih dari kotoran. Senang kalau mereka-mereka yang konon makan banyak garam pun begitu. Saya mahu satu hari nanti untuk hidup udara bersih di tanah tercinta ini. Sungguh saya sayang Malaysia.

Tuesday, 10 May 2011

Akal lima jengkal


Dulu saya sangat-sangat suka dengar, baca, lihat peristiwa-peristiwa ajaib yang ada jalin kaitnya dengan Islam. Rasa konon-konon istimewa dapat anuti agama ini. Satu hari, bertemu sahabat lama dari sekolah lama. Duduk kedai ayam goreng uncle orang putih pakai kaca mata. Bicara. Berbincang. Berdiskusi. Termengumpat. Kembali bicara. Balik. Banyak yang kami cakapkan. Tapi ada satu ideologi yang buat saya terfikir. Kawan lama saya cakap dan saya quote. Kenapa kita perlu bukti untuk yakin yang Allah itu satu. Islam itu agama pilihan. Nabi Muhammad itu nabi junjungan, pesuruh Allah.

Kenapa kita hanya mahu percaya yang sembahyang itu wajib bila sejadah itu berdiri sendiri?
Kenapa kita hanya mahu membaca Al-Quran bila Al-Quran itu terselamat dari kebakaran yang mega dasyat?
Kenapa kita hanya mahu jejakkan kaki ke Masjid bila tempat itu jadi lencongan kala tsunami itu hari?
Kenapa kita perlu bukti untuk percaya yang memang nyata.

Terlalu selesa hidup dalam dunia yang semuanya perlu ada sebab musabab buat kita jadi lupa yang adakalanya sesuatu terjadi hanya kerana "kun fayakun".

Tuesday, 3 May 2011

Akal empat jengkal


Pendapat kita tidak mungkin akan jadi sentiasa betul. Capangkan telinga, lebarkan mata. Biar isi dunia tolong sedarkan kita. Dengar rintihan warga yang mahu kita pakai baju tutup pusat, tutup segala. Lihat juihan manusia bila kita satukan 'k-pop' dan 'rostam' dan 'makan budu' dalam satu rangkaian ayat. Sebelum orang-orang kampung kamu-kamu pandai beryoutubing, kembalilah ke pangkal jalan.

Kalau Mas Budi pakai nametag nama John sekalipun, dia tetap nampak macam rupa orang makan bakso. Begitu juga kamu-kamu. Ambil gambar sambil buat bentuk hati di dada sambil senyum senget sambil kenyit mata tak akan jadikan kamu Park Tae-Hwan. Kamu tetap akan jadi Awang.

Sungguh saya tak cakap pasal kamu 24:7. "Chincha". Kamu-kamu mesti faham kan?

Saturday, 30 April 2011

Akal tiga jengkal


Yang salah akan tetap jadi salah walau didasari oleh sebab musabab yang mungkin nampak logik. Ini tajuk cerita. Nak lebih faham, ini contohnya:

1. Bawa masuk nota intensif dalam dewan sejuk beku waktu final paper tetap salah walau impian untuk berjaya supaya tak hampakan Puan ibu dan Encik bapa.

2. Tak pakai tudung tetap salah walau guna alasan belum bersedia.

3. Comolot depan pavilion tetap salah walau mahu kekalkan hubungan dengan pakwe yang mungkin tak akan jadi laki.

4. Curi roti Gardenia di Kedai Runcit Ali tetap salah walau nak tolong makcik tua minta sedekah tepi bas stop.

5. Tabur fitnah tetap salah walau yang difitnah itu manusia buruk kondisi sahsiah.

6. Makan waktu bulan puasa tetap salah walau niat taknak bazirkan nasi campur lauk ayam percik campur sirap limau semalam.

7. Minta sedekah walau tulang empat kerat masih tak osteoporosis tetap salah walau niat nak galakkan rakyat Malaysia bersedekah.

Ini penutup cerita. Titik.


Wednesday, 13 April 2011

Dia tu memang....


Seorang lelaki kurang kacak menyarung baju kaler hijau terang dipadankan dengan seluar kaler merah. Mereka-mereka terus menilai tanpa mengetahui dia sebenarnya buta warna.

Seorang pakcik senget hidungnya. Hencot kakinya. Pakcik itu dilabel cacat oleh mereka-mereka tanpa diketahui hidung itu senget dilibas buku lima sedozen komunis. Kaki itu hencot ditembak ketika cuba pertahan anak bangsa dari jadi mangsa.

Seorang makcik pakai baju kurung lusuh menangis di stesen bas. Mereka-mereka terus menilai makcik sebagai kurang akal tanpa mereka tahu makcik tua baru dibuang anak yang sudah kaya tapi tak pernah cukup duit mahu tanggung makan lima ringgit sehari seorang ibu. Dalam kurungan, anak bodoh.

Seorang jejaka kacak bergaya pandu kereta kaler merah cuba mengorat seorang awek kurang lawa tapi jadi sedikit lawa selepas calit bedak kaler-kaler. Terus awek nilai jejaka kacak seorang bekerjaya tanpa mengetahui jejaka kacak meragut setiap hari Isnin.

Kalaulah kita tidak sekadar melihat di permukaan dan berhenti di situ. Kalaulah kita tidak berhenti di situ. Kalaulah.


Monday, 7 March 2011

Basi


Kalau aku pergi esok, tahan air mata kamu, kesat hingus kamu, senyapkan esakan kamu, bacakan aku surah Yassin. Aku bukan umat terhebat. Lainlah kamu. Walau aku sembahyang, sembahyangku di hujung-hujung. Walau aku puasa, puasaku kurus-kurus. Walau aku mengaji, mengajiku jarang-jarang. Nah, memang aku tak hebat. Kamu yang hebat-hebat ni tolonglah aku. Bukan aku minta banyak. Sedekahkan Yassin je. Kalau aku minta lima puluh ringgit, kamu memanglah tak boleh bagi. Pinjam PTPTN je pun. Aku ni pun tengah berkira-kira apa yang aku nak usung bersama dengan aku. Amal aku? Jariah aku? Tak banyak sangat ni. Kamu yang hebat-hebat ni tolonglah doakan aku. Tak payah panjang-panjang. Cuma ingatlah aku bila kamu-kamu tadah tangan. Tolonglah aku. Aku ni kat dunia pun takut gelap. Nanti, kat bawah sana aku sorang-sorang. Lagilah takut. Alah, kalau setakat nak ingat kesebelasan pemain setiap pasukan bola sepak pun kamu boleh, takkanlah aku yang pernah cakap baju kamu cantik ni kamu tak boleh ingat. Mesti ibu,bapak,adik-adik aku sedih. Ye la, aku pun muda lagi. Aku ingatkan orang-orang tua mesti pergi dulu. Rupanya tak. Aku tak sambut hari lahir aku yang ke 21 pun lagi. Aku baru ingat nak turun mengundi. Tak sempat rupanya. Kamu-kamu yang hebat ni tolonglah cakap yang baik-baik je pasal aku ye. Biasalah orang muda, hidup mesti enjoy. Buat-buat tak nampaklah perangai muda-mudi aku tu. Sebutlah pasal aku bagi baki duit 5 sen kat Giant punya kotak derma. Sebutlah pasal ermmmmmmmm.... Tak banyak rupanya yang kamu boleh sebut. Apa-apa pun, kamu-kamu yang hebat ni tolonglah 'cover line' aku ye. Ye la, kamu masih boleh pergi karaoke lagi. Kamu masih boleh tengok wayang lagi. Kamu-kamu mesti hidup lama kan. Muda lagi. Aku pergi muda ni sebab memang keturunan aku kot. Keturunan kamu-kamu hebat. Hidup sampai cicit 26 orang kan. Jadi, kamu-kamu tolonglah apa yang patut. Tapi, macam mana kalau kamu-kamu yang pergi esok?

Monday, 28 February 2011

Kelat


Cuba untuk menulis tentang Islam. Tersekat. Termenung. Kelu. Lama. Susah rupanya.

Monday, 14 February 2011

Akal dua jengkal


Bersosial tidak salah tapi bila ujian kehamilan itu satu prosedur wajib tiap kali remaja sakit perut, ada yang tidak kena mungkin dengan cara remaja kita bersosial. Jangan terlalu menerima. Jangan terlalu cepat redha dengan satu situasi walau ia salah. Saya cuma mahu encik/puan doktor ada sedikit rasa serba salah apabila kamu-kamu cadangkan ujian mungkin ada bayi kepada mereka yang jelas statusnya belum berkahwin. Saya cuma nak cakap yang bukan semua orang akan buang bayi.

Sunday, 30 January 2011

Akal sejengkal


Mereka cakap anak muda zaman sekarang makan perlu disuap. Minum perlu straw. Tidur perlu ditepuk. Mandi perlu disabun. Aku anak muda. Aku hidup zaman sekarang. Konklusi: aku anak muda zaman sekarang. Tapi aku makan pakai tangan aku. Aku minum terus dari cawan. Aku mandi gosok sabun sendiri. Aku tidur tepat jam dua tak perlu diulik. Kawan aku pun begitu. Kawan kepada kawan aku pun begitu. Aku cuma nak tanya. Mereka cakap pasal anak muda mana? Keliru.