Showing posts with label siri kala muda. Show all posts
Showing posts with label siri kala muda. Show all posts

Saturday, 1 September 2012

Kisah saya dengan ular dengan kambing Part 2


Cerita bersambung.


Ya. Ular sawa tu boleh lepaskan diri. Laju dia mengengsot masuk dalam semak samun. Saya waktu tu trauma tengok hujung ekor ular meliuk-meliuk. Lepas dah kurang rasa kagum, semua orang baru teringat pasal kambing yang kegelisahan tadi.

Memang kambing tu terlepas dari perut sawa tapi kalau dah namanya ajal, kambing itu pergi juga. Mati terbaring. Pak Ngah Ali kebumikan kambing. Selepas peristiwa itu, kurang sikit kami-kami main tembak-tembak polis lawan pencuri. Banyaknya kami main masak-masak.

Seminggu selepas itu, saya macam dah hilang sikit rasa takut terhadap semak samun, Pak Ngah Ali ajak saya dan sepupu-sepupu buat aktiviti mingguan kami. Masuk hutan. Dulu, sebelum UMT teroka tanah, ada anak sungai dalam hutan tu. Dan bila kita merentas sungai, akan ada tanah lapang. Kat tanah lapang tu, ada pokok rambutan. Tak tahu siapa yang tanam sebab memang jarang untuk manusia pergi kat kawasan itu kecuali kami-kami yang suka main dengan tanah ni.

Hari itu, seperti biasa. Sebelum masuk hutan, Ma suruh tanggalkan rantai emas yang saya pakai sebab saya dah pernah hilangkan gelang kaki bila balik dari menebas hutan. Berjalan dalam barisan saya dan sepupu-sepupu. Pak Ngah Ali di depan. Macam biasa tapi yang saya tak tahu, saya akan alami satu lagi pengalaman yang sangat rare yang akan buat saya ingat hari itu sampai bila-bila.

Ingat lagi pasal ular sawa semalam? Ya, hari itu kami jumpa sarang ular sawa itu dan ular sawa tu dah mati. Mungkin sebab kempunan nak makan daging kambing. Mungkin juga sebab sedih dah jadi ular sawa kurang upaya selepas hilang sedikit ekor digigit Pak Ngah Ali.

Tapi sayangnya, itu bukan zaman kanak-kanak asyik pegang henfon kat tangan. DSLR pun orang tak tahu lagi masa tu. Jadinya, semua peristiwa hanya ada kat dalam memori. Tiada bukti bergambar yang boleh ditunjuk kat anak cucu satu hari nanti.

Sungguh, saya sayang zaman kanak-kanak saya. Sebab memang Ma dengan Abah benarkan saya untuk jadi kanak-kanak sepuas hati saya. Saya buat banyak benda yang buat saya rasa tak ada rasa menyesal bila saya dah dewasa sikit ni. Tapi, sayangnya semua benda yang saya buat tu benda yang budak lelaki buat sebab sepupu-sepupu saya ramainya yang lelaki. Jadilah saya gadis perkasa yang tak boleh nak kawal ketawa.


***
Kalaulah saya banyakkan main masak-masak dari main 'bola katok', mesti saya tak kekok pegang sudip kat dapur hari ini. Haishhh.


p/s: Pak Ngah Ali dah arwah pun sekarang.

p/s lagi: Pak Ngah Ali banyak ajar saya macam mana nak hidup.

p/s lagi: Setiap kali kalu saya nak balik ke universiti, Pak Ngah Ali akan usap kepala saya sambil doakan yang baik-baik untuk anak sedara dia ni.


Friday, 31 August 2012

Kisah saya dengan ular dengan kambing Part 1


Tahun nya 1999 mungkin. Masa tu UMT orang masih panggil KUSTEM lagi. Masa tu, banyak lagi semak belukar tak diteroka. Saya dengan sepupu-sepupu masih boleh main tembak-tembak kat dalam tanah simpan KUSTEM. Belukar yang saya cakap ni, memang belukar tahap hutan punya. Yang kalau kita sesat, kita boleh survive dengan minum air sungai, makan rambutan kaler kuning yang merimbun.

Nak ceritanya betapa bestnya zaman kanak-kanak saya, saya kena mulakan dengan bapa saudara saya, Pak Ngah Ali bela kambing. Jadi adakalanya kambing-kambing ni akan merayap sampai ke dalam pagar KUSTEM sebab banyak pohon-pohon hijau kat dalam sana yang boleh buat spesis kambing gembira.

Satu hari, seekor kambing tak pulang-pulang. Pak Ngah Ali dah bimbang. Ke mana pula perginya, bisik hati Pak Ngah Ali. Dan, melangkahlah Pak Ngah Ali ke sempadan KUSTEM. Terintai-intai. Tercari-cari. Tiba-tiba, terdengar teriakan kambing. Embek... embeeekkkk

Hanya suara saja yang dengar. Kambing itu memang kita tak akan nampak sebab dia ada dalam perut ular sawa. Literally! Ular sawa tu membusung sebab memang dia telan kambing tu in one bite. Takde nak cut to small pieces dulu.

Riuh la satu kampung. Ular sawa makan kambing. Saya waktu tu first time tengok kambing dalam perut ular. Dan kambing masih mengembek. Ular sawa tu dah digari. Sepuluh orang pegang ular sawa. Sepuluh orang tu ada bapa saudara saya, ada bapa saudara sabit, ada sepupu-sepupu, ada saudara bau-bau bacang.

Nak pendek cerita, ular sawa luahkan balik kambing yang nyawa-nyawa ikan. Tapi masih mengembek. Dan ular tu pulak menggelupur nak lepaskan diri. Entah macam mana, Pak Ngah Ali yang pegang hujung ekor ular tu, gigit ekor ular sampai putus sikit. Ular tu terlepas.....


Bersambung. Mak suruh jemur baju.

Thursday, 30 August 2012

Pakai baju biru main bola sepak.


Perenggan pengenalan. Cerita di buka dengan Selamat Hari Raya dan Selamat menyambut Hari Merdeka.


Sebab dah habis belajar, saya duduk di rumah. Menganyam mimpi untuk berjaya. Ya, berfikir bagaimana mahu bahagiakan ibu bapa. Masih lagi berfikir. Tapi itulah sajalah yang dibuat. Berfikir. Bertindaknya, belum lagi setakat ini. Jadi, masa lapang memang menimbung kala ini.

Satu hari, sebab bosan, saya belek-belek list drama korea baru untuk tonton apabila tak bersembang dengan Ma. Terserempaklah saya dengan 'Reply Me, 1997'. Tak ada pelakon maha femes macam Hero Winter Sonata atau Hero Autumn in My Heart. Cuma ada Abang Seo In Guk kita.

Cerita pasal cinta, obviously. Ini drama korea. Genre bunuh-bunuh pun harus ada elemen cinta selit kat mana-mana scenes. Cerita ni dia ulang-alik tahun sekarang dengan tahun 1997. Cerita pasal kenangan. Cerita pasal dua orang kawan baik yang memang dari kecil bersama. Cerita pasal cinta pertama. Cerita pasal cinta nombor dua. Cerita pasal cinta anak dan ayah. Cerita pasal cinta bini kepada laki. Cerita pasal cinta adik kepada abang. Cerita ni pun belum habis, jadi cuma nak recommend tengok cerita ni. Sebab cerita ni memang hensem tahap ayah saya lah!


Lepas tengok cerita ni, saya pun macam terimbau kat crush mula-mula sekali. Macam kebanyakkan orang rasanya, umur sebelas saya ada suka kat satu lelaki. Kawan satu sekolah. Kawan sedarjah. Dia tinggi untuk laki-laki sebaya dia. Dia pengawas tahu. Pakai baju biru. Nampak osem kat mata saya. Dia main bola sepak. Saya main bola jaring. Gitu.

Tapi itulah, dah namanya pun crush, memang takat puja dalam hati je lah. Yelah, dengan kaca mata bentuk hexagon kaler purple metallic tu, stokin sebelah kaler kelabu, sebelah kaler putih, naik basikal tayar belang tiga kaler, memang tak pernah terfikir la pasal ai-lap-yu-yu-lap-ai ni. Nama pun budak-budak. Suka sebab dia nampak macam paling hebat kat sekolah je. Takdelah sampai teringat-ingat bila sedang tonton Power Rangers pun.

Memori. Ya, semua tu satu memori. Memori yang saya dah tak malu nak cerita. Kalau dulu, mahu tercabut rantai basikal siapa-siapa yang pecahkan rahsia ni. Tapi, sekarang, saya dah boleh gelak bila orang sebut pasal ni. Sebab, dah sepuluh tahun pun.

Ermm, macam tak boleh nak tutup aje cerita hari ini.

Jadi, saya akhiri dengan apa yang selalu Ma saya pesan.
"Doksoh la ngorat-ngorat. Sapa masa, Ma bui hok hebak skali ke along".


***
Mahu cakap pasal perlunya hargai moments yang ada sekarang sebelum dia jadi memori. Tapi, tak tahu kenapa terbuka cerita pasal budak pengawas segala. Maaf.

p/s: Saya sayang Ma.

p/s lagi: Maaf juga sebab ter quote pesanan yang tak berkaitan dari Ma saya. Bila berada di rumah, memang akan sentiasa ter quote mak sendiri.

Wednesday, 28 March 2012

Awesome 90's





Saya lahir 1990. Tahun hebat. Tahun tikus putih. Kami produk sulung PPSMI (Belajar Sains dan Matematik dalam bahasa omputeh tapi masih boleh jawab exam dalam Bahasa Malaysia). Kami kenal Mona Fandey. Televisi kami ada Teletubbies, Keluang Man, Usop Sontorian. Kami dengar lagu cucuk kaset dalam radio. Zaman kami, abang-abang Westlife masih muda dan hensem remaja. Kami main game Snake dalam telefon bimbit. Dulu, kami pun muda. Hidup bahagia. Senyum setiap masa.


Sekarang, hanya boleh kenang zaman gemilang. Lawak tengok budak-budak sekarang yang rasa hebat duduk dalam rumah main game NinjaBuah. Kalau zaman kami dulu-dulu, budak-budak begitu jenis yang anak mak, tak ada kawan, lone ranger, pakai kaca mata wajib tebal, rambut keras, basikal ada bakul ngan loceng, pakai seluar atas pusat, bawa bekal, senyap dalam kelas. Dalam satu huruf, takAwesome. Tapi, nak buat macam mana, hari ini, semua budak macam tu. Mungkin itu sebab ramai orang berkulit cerah sekarang. Jarang sangat rasa matahari. Tak macam kami dulu-dulu, overdosed Vitamin D.

Thursday, 15 March 2012

Lepas UPSR masuk asrama.



Umur tiga belas tahun. Lepas UPSR, masuk sekolah menengah. Duduk asrama. Kononnya, sudah dewasa. Mahu ikut jejak rakan yang masuk asrama. Walau sedar, mata punya pundi air mata sangat goyah. Masuk dengan harapan dapat bajet cool bila balik kampung.

Bukan semua kurang osem. Tak semua juga osem. Sama banyak saja pengalamannya.

Yang buat sengih sampai nampak gigi:

1. Hari pertama masuk asrama. Nampak kakak-kakak senior baik-baik semua. Siap tolong angkat beg baju lagi. Amboi. Tundukkan badan sikit bila lalu depan Puan Ma dan Encik Abah. Tapi. Itu tak lama. Malamnya, kami-kami yang baru mendaftar ni dikumpulkan di dewan makan. Seorang demi seorang kakak senior perkenalkan diri. Selepas itu, kami dengan pegang buku nota kulit keras di dada kena dapatkan tanda tangan mereka. Masuk satu bilik berjumpa kakak Z (nama dia mungkin tak mula dengan huruf Z). Dia jawab boleh bila aku minta tanda tangan dia. Tapi, dia kata. Kamu kena tiup lampu panjang ni sampai lampu ni terpadam. Ya, kamu mungkin kata itu bodoh. Tapi, untuk budak umur tiga belas tahun yang baru pertama kali tidur atas katil bertingkat, aku rasa wajib buat benda itu. Jadi, aku tiup. Masih tiup walau kakak-kakak dah bergolek ketawa di lantai. Sampai satu tahap, muka aku dah merah. Kakak-kakak tu suruh aku berhenti. Mereka tandatangan buku aku. Akhir minggu orientasi, aku dapat anugerah junior paling _________ (tempat kosong sebab aku tak ingat. Ini bukan kisah berlaku semalam). Anugerah ini is based wholly on the log book. Jadi, kamu tahu apa yang aku belajar waktu itu? Jika kamu pandai mengipas, memang senang untuk kamu hidup senang. Sebab itu, bila sudah semakin senior. Bila sudah semakin galak menentang arus. Tak ada lagi anugerah yang aku dapat.

2. Satu pagi, aku bangun tidur. Aku cari-cari selimut aku sebab aku rasa sejuk. Tapi selimut aku hilang. Aku gagau tangan aku ke bawah. Aku rasa sejuk. Aku terus celik mata. Terus terduduk bila nampak air penuh dalam bilik. Asrama banjir. Kami gembira sebab tak payah ke sekolah. Berkumpul di surau. Mujur ada kakak pengawas bagi tazkirah. Kurang sikit dosa buat bising dalam surau. Ambil gambar dalam banjir. Tangkap belut letak dalam baldi. Pertama kali aku rasa hidup di asrama sangat marbeles sebab rumah aku tak pernah banjir. Aku juga belajar yang ada sebab kenapa orang simpan buku tinggi-tinggi. Kamus Dewan Bahasa aku terkorban dalam banjir tu. Dan Puan Ma tak mahu beli untuk kali kedua dan aku sayang untuk keluarkan duit aku sendiri. Jadi, aku selalu fikir perkataan sinonim untuk satu-satu perkataan untuk Bahasa Melayu Pemahaman ikut logik akal aku. Contohnya meraung = malaun, sebab meraung akan buat pencemaran bunyi sampai orang akan panggil si peraung malaun.

3. Tengok Meteor Garden kat bilik TV. Sanggup skip makan petang sebab nak tengok si Jerry Yan. Aku rasa sebab tengok TV dulu, power kaca mata aku naik mendadak sebab aku kena kecilkan mata untuk tengok TV saiz paling minimum dengan penonton paling maximum.

4. Kawan-kawan yang pernah duduk sebilik atau orang puteh panggil 'roommate'. Mereka semuanya osem yang sangat banyak. Mereka gosok belakang bila aku sedih. Mereka tepuk tangan bila aku gembira. Kongsi cerita hantu pada malam minggu. Makan megi dalam gayung. Mengumpat makcik dewan makan. Kongsi cerita pasal segala.


Yang buat bibir mencebik:

1. Nasi dewan makan yang tak pernah sedap kecuali hari Khamis untuk waktu lunch. Paling perit bila berbuka puasa dengan sotong masih ada kulit, ikan hanyir, ayam kurang masak, nasi keras, air sirap tawar, air milo tak kaw, nasi lemak yang buat tandas penuh setiap pagi Selasa (ini kisah benar. Setiap pagi Selasa, jumlah pelajar asrama yang ke tandas akan jadi double. Jadi, kami buat kesimpulan yang nasi lemak makcik dewan makan ada satu ramuan rahsia yang menggalakan proses pembuangan).

2. Rindu Puan Ma, Encik Abah, Ika, Adikju, Adha, Arwah Tok, Uzma belum ada kala ini. Malam pertama, langsung tak boleh tidur. Kelip-kelip mata sampai ke pagi. Tatap gambar mereka yang setiap pagi sebelum ke kelas. Ya, masih ingat mereka setiap detik walau Ma dan Abah datang setiap Khamis dan setiap Sabtu. Khamis untuk ambil baju kotor. Sabtu untuk hantar baju bersih yang dah bergosok. Sebab itu, aku bimbang kalau satu hari anak aku suruh aku basuh dia punya seluar kecil, aku harus buat tanpa banyak cerita sebab dia akan ada nenek dia untuk cakap "Alah, mak kau dulu pun begitu".

3. Puan Warden yang pilih kasih. Malas nak ulas panjang. Memori pahit.



***

Ini entry paling panjang aku pernah tulis. Aku perasankan sesuatu. Walau banyak mana pun aku cakap yang tahun 2003 itu hidup aku sangat sengsara. Aku sedar yang tahun itu adalah tahun yang paling best buat aku. Tahun yang buat aku rasa aku betul-betul bernyawa. Terima kasih kepada Puan Zarimah sebab paksa aku duduk asrama. Tapi dia cuba tebus balik dengan hantar makanan dari pasar malam setiap hari Khamis. Dan aku tak pernah marah pun sebenarnya. Masuk tingkatan dua, aku dah tak duduk asrama. Jadi, aku pernah hidup dalam dua-dua dunia. Ada baik buruk untuk setiap pihak.

Yang pasti, asrama ajar aku apa makna kawan yang sebenar. Perkataan kawan tu nampak macam kecil sebab dah biasa sangat orang guna. Tapi maksud sebenar disebalik perkataan tu ialah, "Aku sanggup stay up malam bila kau demam sambil lap tubuh dan dahi kau dengan kain basah dan dodoi kau bila kau merengek walau kau dah umur 13 tahun" (Kisah benar. Kisah kawan aku yang jaga aku bila aku demam. Ya, dia memang tak tidur semalaman sebab kwan dia ni takut makan panadol lalu demam jadi melarat. Dia, aku akan sentiasa doakan supaya hidup dia bahagia sebab dia memang sangat osem).


Thursday, 7 July 2011

Kala masih ada gigi susu 4


Benda paling best waktu belum baligh. Main kahwin-kahwin. Prop permainan mudah. Seorang pengantin lelaki. Diri sendiri sebagai pengantin perempuan. Pakaian sila selongkar almari empatsegi ibu ayah. Pakai bedak. Lokasi boleh jadi kerusi di dapur. Atau letak dua kerusi di halaman rumah. Atau duduk bersila atas tanah. Boleh disuai ubah ikut keadaan matahari. Jangkamasa permainan bergantung kepada seruan ibu ayah untuk pulang ke rumah. Walau tak pernah bercerai-berai, pengantin boleh berkahwin sekali lagi untuk berapa kali pun. Cara permainan, duduk atas kerusi dan berkahwin. Itu sahaja. Tak perlu penjelasan. Lagi meriah kalau ada pengapit. Tapi risiko untuk pengapit mahu ikut turut jadi pengantin perempuan mungkin akan buat pengantin lelaki lari ikut rakan main bola tin. Tidak boleh terlalu ikut logik akal. Akan jadi tidak best nanti. Sebab itu kita-kita berhenti main kahwin-kahwin bila rancangan A.L.O.N.G sudah tidak nampak menarik di mata kita-kita.

Thursday, 9 June 2011

Kala masih ada gigi susu 3


Umur waktu itu 9 tahun. Sangat nakal. Mungkin sebab jarak umur saya dengan adik dan adik sangat dekat. Saya cuma mahu Puan Zarimah perasan saya. Saya ada basikal tak berapa baru tapi saya suka basikal saya. Tayar basikal saya banyak kaler. Yang saya ingat, ada kaler biru, merah, kuning. Hari itu Encik Zuhaimi demam. Dia elok berehat dalam bilik. Hari sudah kurang cerah. Saya tiba-tiba rasa mahu pergi kedai runcit Ah Beng. Saya cakap dengan Puan Zarimah. Puan Zarimah cakap jangan pergi. Tapi saya pergi juga. Saya kayuh basikal sampailah satu corner saya jatuh. Saya tongkat tangan kiri untuk tahan saya. Yang saya dengar bunyi "krak". Saya bangun. Cuba nak kibas baju dari debu tapi tangan kiri sakit. Tangan saya tak straight. Nampak pelik. Saya angkat basikal berlari balik rumah. Tunjuk tangan pada Puan Zarimah. Puan Zarimah tak cakap banyak terus kejutkan Encik Zuhaimi. Dia kata tangan saya patah. Tiba-tiba saya rasa sakit yang amat. Patah? Patah? Saya ulang perkataan itu banyak kali. Encik Zuhaimi dengan hidung merah hantar saya ke rumah tukang urut. Selepas itu ke klinik untuk x-ray. Balik rumah saya senyap je. Walau Puan Zarimah tak cakap apa-apa, saya tahu ini balasan sebab saya tak dengar cakap Puan Zarimah. Itu sebab sekarang saya tak pernah buat sesuatu sebelum Puan Zarimah tahu. Kata orang, mulut ibu masin. Kata saya, saya taknak patah tangan lagi.

Friday, 22 April 2011

Kala masih ada gigi susu 2


Umur waktu itu tujuh tahun. Masih jahil lalu dengan bebas tak sarung tudung. Sebab selalu tocang rambut, dapat nama ekor kuda. Sangat tujuh tahun. Mungkin sebab aku pernah habiskan satu tahun sebelumnya di darjah satu, rasa sangat bangga diri. Tiba-tiba jadi penolong kelas. Suara aku nyaring jadi aku buat-buat garang. Satu hari ada sorang budak, biar aku panggil dia Mamat 2 tak ikut jadual bertugas. Jadi aku pun suruh dia pegang penyodok kaler merah. Dia jelir, dia lari-lari sambil laung ekor kuda berulang kali. Oh, aku jadi panas. Aku angkat penyodok kaler merah, aku kejar Mamat 2. Sekelip mata, Mamat 2 berhenti lari. Dua kelip mata, aku pun berhenti. Tiga kelip mata, bucu penyodok kaler merah nyaris butakan mata Mamat 2. Hujung mata Mamat 2 luka agak parah. Darah keluar walau tak banyak. Aku dah nak menangis. Memori aku sampai di situ. Aku kurang ingat apa Mamat 2 buat selepas itu. Tapi yang aku ingat, esoknya ayah Mamat 2 datang ke kelas. Ayah dia polis. Dia cakap nak jumpa aku. Aku memang yakin aku perlu masuk penjara sebab aku lukakan anak polis. Tapi ayah cuma cakap, "Lain kali jangan buat anak pakcik macam tu ye" sambil senyum. Aku angguk. Mamat 2 tengok aku sambil sengih-sengih. Selepas itu, aku jadi kawan Mamat 2 sampai sekarang. Mamat 2 pun pakai kaca mata sekarang. Dia cakap mata dia rabun sebab penyodok kaler merah tu. Aku tahu dia bergurau atau aku sangat harap dia bergurau!

Monday, 18 April 2011

Kala masih ada gigi susu 1


Umur waktu itu enam tahun. Tapi saya darjah satu. Ini semua sebab Puan Zarimah cikgu. Dia sumbat saya dengan senior-senior umur tujuh tahun. Saya masih teguk susu dari botol kaler pink waktu itu. Saya femes sebab saya anak cikgu. Jadi saya selamat dari jadi mangsa buli. Cuma tak ramai orang yang nak kawan dengan saya sebab saya budak kecik. Kecuali dia. Saya betul-betul mahu ingat nama dia tapi saya lupa. Biar la saya panggil dia Mamat. Mamat kawan rapat saya. Sangat rapat. Ke mana pun kami berdua. Seingat saya Mamat pendek. Dia tinggi sejengkal mungkin kalau bandingkan dengan saya. Kalau saya tak hepi, mesti Mamat buat-buat jadi Power Rangers. Bila dia jerit "bertukar", saya mesti ketawa guling-guling walau saya dah dengar benda yang sama beribu kali. Ada satu hari Puan Zarimah masuk kelas. Dia ajar Sains. Saya asyik main-main buat bising kat belakang. Puan Zarimah geram. Dia tiba-tiba tanya "Ada tak budak dalam kelas ni yang masih minum susu dari botol?". Waktu itu semua orang pandang saya dan gelak. Tapi Mamat tak. Dia lansung tak gelak. Balik rumah hari itu, terus saya buang botol susu kaler pink saya. Mamat sorang yang pendiam bila dia di khalayak ramai. Tapi bila kami berdua, dia sangat bising. Saya ingin tulis panjang-panjang. Sebab saya masih ingat rasa gembira setiap hari sepanjang tahun. Tapi rasa itu kabur. Muka Mamat pun saya dah tak ingat. Tapi banyak memori yang masih saya simpan. Habis tahun itu, saya masuk darjah satu sekali lagi. Tapi kali ini di sekolah lain. Saya terpisah dengan Mamat. Puan Zarimah pun dah pindah sekolah lain. Mamat langsung tak muncul dalam hidup saya lagi. Dah 15 tahun berlalu dan saya masih simpan harap untuk jumpa Mamat sekali lagi. Masih pendekkah dia? Berkumiskah? Sudah berkerintingkah? Mamat, saya harap kamu sekarang budak umur 22 tahun yang sihat!