Showing posts with label Pak Tuyu. Show all posts
Showing posts with label Pak Tuyu. Show all posts

Sunday, 28 September 2014

Mak saya

Aku rasa kalau bukan sebab doa seorang ibu, aku mungkin tak jadi manusia. 

Kau ingat senang nak jaga sorang budak keras kepala, perengus, selalu buat keputusan yang dia sendiri akan menyesal lima minit kemudian dan jugak kuat merajuk jenis muncung-muncung mulut kening bertaut. Aku tolong jawab, tak senang lansung. SUSAH.

Tapi mak aku lepas dah ada anak, sifat garang yang dia ada tu tak pernah dia bawa balik rumah. Seingat aku kalau dia marah pun, dia hanya akan cakap " sampai hati along buat ma macam ni". Tapi sebab aku kurang garam, aku rilek je takde perasaan apa-apa bila mak cakap macam tu. 

Ada satu ketika, naik sekolah menengah, aku perasan macam matang. Start la zaman gelap tapi takla gelap sangat. So aku panggil dia zaman kelabu aku. Waktu tu, aku asyik nak memberontak je. Kat rumah asyik berkurung dalam bilik. Kat sekolah sengaja cari pasal ngan kakak-kakak pengawas. Konon bajet hebat.

Tapi berkat doa mak siang malam supaya anak dia ditunjukkan jalan yang betul, Allah datangkan seorang ustazah. Dan melalui dia, sedikit-sedikit nampaklah macam muka orang sikit. 

Dan bila dah tua bangka ni pun, memang selalu harapkan doa mak je. Sebab doa mak dia tulus untuk kesejahteraan anak-anak dia. Mak tak harapkan balasan pun bila anak dia dah senang. Senyum dia akan lagi lebar dari senyum kita bila kita berjaya. 

Kalau bukan sebab doa mak, aku mungkin tak jadi manusia.


p/s; Ma, saya harap saya dapat kurang-kurang satu pertiga kesabaran ma bila saya ada famili.


Friday, 5 April 2013

Pinggan bersisa dalam sinki dan seorang abah


Situasi di dapur.

Pinggan dengan sisa makanan dalam sinki.

Yang makannya, adik lelaki umur empat belas tahun yang hanya tahu jemur baju dan beli ais.

Masuk si sulung yang pemalas.

"Sape hok makang nasik dok reti nok basuh pinggan ni??" 
Translation: Siapa yang makan nasi tapi tak basuh pinggan ni?

Si sulung kepanasan sebab suhu darjah di Pak Tuyu.

Abah masuh dapur.

Abah makan nasi.

Abah basuh pinggan sendiri.

***
Mungkin ini cara abah nak cakap yang dia terasa hati. Anak buat kerja tak ikhlas. Bukan susah pun nak basuh sebiji pinggan sebenarnya. Tapi, adakalanya banyak faktor yang buat kita rasa nak marah je. Memang terkesan sangat. Halus je cara abah. Tak bising, tak gaduh, tapi menusuk jauh ke dalam hati. 

Banyak lagi yang kena muhasabah sebelum boleh dengan bangganya post status kat Facebook yang berbunyi Menunggu separuh tulang rusuk saya. Kena buat baik dengan ma dan abah dulu, baru boleh fikir nak bina famili. Nanti, teladan mana yang kita nak tunjuk untuk suruh anak-anak kita taat kat kita. Kalau kita sendiri pun mengeluh bukan main panjang bila abah minta segelas nescafe.

p/s: Saya tak cakap saya anak yang baik. Tapi untungnya saya, ada ma dengan abah yang selalu cakap anak mereka baik. Mana tahu satu hari, Allah perkenankan. Dan jadilah saya anak yang betul-betul baik.

p/s lagi: Tajuk macam karangan nak hantar dalam majalah sekolah. Maaf.

Wednesday, 26 December 2012

Modal keluar VS Untung masuk.


Adik nak pergi beli tudung sekolah. Kaler pink muda. Ikut sekali sebab hajatnya nak minta mak belanja KFC. Mak ajak pergi makan dulu. Ayuh kita, parking, order, makan. Kenyang sendawa Alhamdulillah. Pergi cari tudung adik. Tudung nak belinya, tiga helai je tapi pusing seluruh dunia. Ayam dalam perut pun dah habis terhadam. Balik rumah, dah lapar balik. Goreng ayam perap kunyit makan dengan nasi. 

***
Jangan nampak yang sedap je. Pikir semua. 

p/s : Baik tak payah keluar. Jimat deodorant. 


Saturday, 22 September 2012

Don't judge a adik by its rambut belah tengah


Adik saya umur tiga belas tahun. Tingkatan satu. Nampak sangat budak. Pakai seluar atas pusat. Rambut belah tengah. Memang hardcore punya skima. Tapi dia cakap sesuatu yang buat saya respek  dia tahap maksima. Satu hari, sedang saya belek surat khabar ada gambar prempuan cantik ramai-ramai. Saya tanya dia, siapa lagi cantik, Along ke perempuan ni? Dia jawab,

"Semua orang cantik. Allah tak kan cipta hamba Dia huduh".

Saya senyap sebab masa tu memang rasa kagum yang menebal sangat untuk dia. Oh adik saya yang awesome, memang genes kita jauh berbeza nampaknya. Hahahaha. Ketawa nak sedapkan hati.

***
Nak belajar ni tak semestinya dalam buku atau dalam kelas. Kat mana-mana pun boleh belajar. Depan laptop sedang main Jojo's Fashion Show pun boleh kalau kita buka minda kita. Terima kasih Adha. Kamu memang hebat.

p/s: Saya selalu bimbangkan dia sebab dia sangat skima. Tapi, sekarang saya dah kurang bimbangnya sebab luar dia mungkin kurang komersial value nya, tapi dalaman dia Insyaallah gagah. 

Wednesday, 15 August 2012

Ketupat Pak Tuyu


Dah agak lama arwah pergi. Tapi aku masih tak boleh berhenti dari menulis pasal arwah. Mungkin sebab ada rasa terkilan yang aku tahu tak akan aku mampu tebus sampai bila-bila. Lebih-lebih lagi bila nak raya ni. Sangat-sangat terasa hilangnya arwah.

Arwah buat ketupat paling sedap dalam dunia. Ketupat arwah besar-besar. Makan satu pagi, boleh kenyang sampai tengah hari kalau ikut perut aku. Dengan tangan yang tak berapa gagah tu, arwah punya ketupat tetap kemas.

Arwah yang ajar aku pergi tarawikh. Dulu, masa kecil-kecil, aku tinggal dengan arwah. Dia selalu heret aku ke surau dua puluh langkah perjalanan dari rumah untuk tarawikh. Dan, walaupun separuh dari masa di surau aku habiskan dengan main teng-teng senyap-senyap dengan jiran sekampung, tapi sebab arwah, tarawikh itu jadi kebiasaan, bukan kesusahan.

Baju raya arwah selalunya baju kurung kedah. Seingat aku, aku tak pernah nampak arwah berbaju kurung. Memang baju kurung kedah dengan kain batik. Pernah juga, dulu-dulu kami berbaju sedondon. Baju kaler pink bintik-bintik hitam.

Arwah tak letak duit raya dalam angpau. Dia bagi duit raya kat semua cucu-cucu tak kira yang tua yang muda yang dah berbini yang belum bersuami. Semua yang bersalam dengan arwah akan dapat duit raya. Dan kalau nasib baik akan dapat duit raya dua kali. Sebab arwah sedikit nyanyuk.

Setiap kali raya, arwah akan cakap "Tahun depang dok tau la jupe ke dok lagi raya". Setiap tahun, arwah akan cakap begitu. Setiap tahun tak pernah lupa. Setiap tahun. Sampailah satu tahun, ia jadi kali terakhir arwah cakap begitu.

Memang manusia hanya akan sedar yang dia ada sesuatu yang berharga bila sesuatu itu dah tak ada. Lumrah. Tapi, tolonglah. Tolong hargai mereka yang ada di sisi.

Hargai ibu biar dia suka bebel tak henti-henti. Hargai ayah biar dia adakalanya sangat garang. Hargai adik biar mereka suka pinjam baju kita tapi tak cakap. Hargai kakak biar mereka suka suruh kita buat air milo. Hargai abang biar mereka suka pau duit kita. Hargai mak bapak saudara biar mereka suka tanya bila kita nak kahwin.



Hargai nenek biar adakalanya dia suka cerita kisah yang sama berulang kali. Sebab, bila mereka dah tak ada, baru kita tahu. Yang kita sebenarnya rindu dengan semua benda yang kita rasa annoying tu.


***
Tak lama lagi dah nak raya.
Al-Fatihah.

Thursday, 17 May 2012

Selamat Hari Cikgu, Puan Zarimah


Sebab-sebab kurang best ada mak kerja cikgu:

1. Wajib buat kerja sekolah.
2. Kasut kena putih.
3. Jarang sangat boleh buat-buat demam sebab nak ponteng sekolah.
4. Rasa malu pada diri sendiri bila tak naik pentas ambil hadiah pencapaian hebat setiap akhir tahun.
5. Bukan setakat buku teks, banyak lagi buku tambahan mak tolong belikan.
6. Walau belajar kat sekolah lain dari mak, jumpa pulak kawan-kawan mak yang suka point kita bila nak suruh jawab soalan di depan.
7. Lawan bola jaring team sekolah mak lalu jadi awkward nak score goal lalu terpaksa pura-pura lutut seliuh untuk keluar dari gelanggang.
8. Mak tahu setiap cuti am. Tak boleh tipu yang esok cuti hari budak darjah dua sedunia.

Sebab-sebab best jadi anak cikgu:

1. Dekat kantin, boleh makan kat tempat cikgu-cikgu makan.
2. Setiap 16 Mei, dapat hadiah banyak kat rumah yang automatically jadi hadiah kita.
3. Boleh panggil cikgu sendiri, Ma.
4. Hari Ahad tak payah pergi perhimpunan mingguan. Sembunyi dalam bilik guru sambil baca buku "Puteri Salju dan Tujuh Orang Kerdil".
5. Tak kena denda nyanyi lagu sekolah kat luar pagar kalau datang lambat sebab kita boleh masuk terus dengan kreta mak bapak kita.
6. Kalau panas time tengah hari, lepak di bilik guru sebab bilik guru ada penghawa dingin.
7. Adakalanya, boleh tahu in advance apa hadiah yang kita akan dapat time hari sukan sekolah sebab kita yang tolong bungkus hadiah.
8. Boleh minta duit dengan mak bila van nutrigen datang. Jadi, boleh belanja kawan-kawan.
9. Lagi best kalau mak adalah orang yang bertanggungjawab jaga koperasi sekolah. Boleh beli pensil tekan-tekan setiap hari.

***

Buat Cikgu Zarimah yang mungkin sedang conteng papan hijau di sekolah, Selamat Hari Cikgu. Terima kasih sebab jadi guru pertama Along. Ajar langkah pertama. Ajar segala. Jangan sayang anak-anak murid lebih sangat. Sayang kami-kami yang bin binti Zuhaimi ni. Sebab kami-kami sayang cikgu banyak sangat. Sekali lagi, Selamat Hari Cikgu.

*Ma, tolonglah jangan buat-buat mimpi dapat hadiah. Anak sulung Ma tak berapa ada duit dalam bank:)

Friday, 13 January 2012

Cinta nombor satu sampai bila-bila.


Encik Zuhaimi.

Abah. Dah tidur ke? Abah sihat? Erm,, tadi along telefon tapi cakap ngan Ma je. Memang kita jarang cakap telefon kan Abah. Along minta maaf. Begini, along sayang abah. Sangat. Tapi along memang jarang peluk, cakap along sayang abah.

Mungkin sebab dulu abah garang. Along jarang kongsi apa-apa dengan abah. Rasa pelik untuk along tiba-tiba cerita tentang crush along, tentang segala. Sungguh, along minta maaf. Along memang jarang hargai abah kan?

Tapi kenapa abah layan along baik-baik. Abah tahu kalau along telefon mesti along akan minta cakap dengan ma. Kenapa abah masih angkat telefon pastu tanya khabar along?

Along tahu abah dah semakin tak gagah. Tapi kenapa abah sanggup pandu kereta 6 jam datang ambil along?

Abah tahu kan yang along tak pernah dengar cakap abah. Tapi kenapa abah tak serik bagi pendapat abah? Kenapa abah baik sangat?

Kenapa mata abah bergenang bila hantar along naik bas. Kenapa abah?

Kenapa abah masih senyum bila tunggu along dalam kereta dua jam.

Kenapa abah temankan along bila along demam. Kenapa abah basahkan dahi along.

Abah tahu kan, along bukan anak baik. Kenapa abah masih layan along baik-baik?

Kenapa abah masih buat segala walau dah banyak kali sangat along mungkin sakitkan hati abah.


Abah, memang adakalanya kita tak sependapat. tapi itu sebab kita terlalu serupa kata ma. Tak bermakna abah tak sayang along kan? Tak bermakna along tak sayang abah. Tak bermakna bila abah cakap kaler hijau cantik, tapi along beli baju kaler pink tu maknanya along tak sayang abah. Abah, hari tu masa abah lena atas katil hospital, along rasa sayu tengok abah. Rambut abah dah banyak yang putih. Abah merengkok tahan sakit. Along cuma nak cakap along sayang abah walau along jarang bicara dengan abah.


p/s: Abah, satu hari nanti bila abah lepaskan along. Along harap dia sama macam abah. Hensem sikit saja tapi sangat awesome.

p/s lagi: Okay, sudah boleh up sikit duit belanja.

Saturday, 26 November 2011

Nurul Zarifah Uzma


Sudah masuk hari lahir adik bongsu. Umur lapan tahun. Hobi untuk waktu sekarang, katih basikal roda dua. Tak serik walau jatuh sampai handle kena perut lalu perut sedikit luka. Kesukaan kala ini masih power rangers dan bukan barbie. Masih suka praktis seni tahan diri ciptaan sendiri banding main masak-masak. Kecintaan waktu ini masih kinder bueno kaler putih dalam bekas bujur telur ada percuma benda sambung-sambung. Walau ternyata coklat itu tak cukup besar untuk mulut luas dia yang sangat jarang telan nasi. Kebencian untuk masa sekarang masih lagi labah-labah. Walau dah berkali kakak sulung tunjuk apa yang botol shampoo boleh buat pada labah-labah tersebut. Cita-cita sudah bertukar mahu jadi doktor sebab Puan Zarimah yang suruh. Dulu dia mahu jadi ustazah.

***

Selamat Hari Lahir Nurul Zarifah Uzma. Along sayang kamu. Sentiasa ingat itu walau bila gigi depan kamu dah tumbuh. Walau bila parut kaki kamu dah kurang. Walau bila kasut kamu dah saiz lapan. Walau bila kamu dah ada MyKad. Sampai bila-bila kamu akan Along panggil adik. Tiup lah lilin puas-puas. Nanti dah besar, kek hari jadi pun kamu kena beli sendiri.

Saturday, 12 November 2011

Pak Tuyu Seksyen 5


Perjalanan dari Pak Tuyu ke Pak Pura dengan memandu kereta mengambil masa 2 jam. Puan Zarimah cerita pasal program LINUS. Cerita pasal hari penyampaian hadiah. Cerita pasal bangunan baru di sekolah. Cerita pasal Pak Guard sekolah. Cerita pasal buku latihan harga enam puluh sen di kedai sekolah. Cerita pasal perlu isi rekod kemajuan murid sekolah. Cerita pasal segala macam perkara yang boleh dicerita pasal cikgu dan sekolah pada Encik Zuhaimi. Encik Zuhaimi bukan cikgu tetapi dia dengar tanpa mencelah. Ini tolak ansur.


*Anak sulung dia lena di kerusi belakang. Sedikit kurang rasa tolak ansur.
**Pak Pura itu kampung dalam Beris Kubur Besar. Beris Kubur Besar itu dalam daerah Bachok. bachok itu dalam negeri Kelantan. Encik Zuhaimi mula celik mata di situ sebelum dia tinggal di Pak Tuyu.

Sunday, 6 November 2011

Selamat Hari Raya AidilAdha


Di Pak Tuyu, banyak kucing. Ini sebab Puan Zarimah mungkin sunyi bila semua anak dia dah panjang. Semua jarang-jarang ada untuk teman dia. Jadi, sebab kucing terlalu ramai, kucing-kucing diberi nama mengikut warna kulit mereka. Abaikan elemen racist dalam perenggan ini.

Hari ini cerita pasal Putih, Black dan Tompok. Tompok dan Black sama-sama bunting. Satu hari, Tompok mahu beranak. Dia sangat bising. Dia mungkin tak tahu apa nak buat sebab ini kelahiran sulung dia. Jadi, Putih setia tunggu Tompok. Dia duduk dekat kepala Tompok yang berbaring. Selepas beberapa ketika, Pak Tuyu ada dua tambahan anak kucing. Selamatlah Tompok dan dua anak-anaknya yang tak bertompok.

Sekarang kisah Black. Dia sangat muda. Hari itu saya tiada di Pak Tuyu. Ini Puan Zarimah yang cerita. Bohong Puan Zarimah, maka bohonglah saya. Black beranak tak susah. Senang. Tapi, dia tinggalkan anak dia selepas dia beranak. Jadi ceritanya pasal Tompok. Dia ambil anak Black. Dia jilat-jilat. Dia bagi susu. Jadi, Tompok sekarang ada tiga anak.

Cerita tamat. Puan Zarimah sekarang sudah jadi moyang. Ini generasi ke-empat kucing made from Pak Tuyu.

***

Mahu cakap pasal pengorbanan. Korban itu lebih indah bila tak dicanang. Biar biji mata yang beri, kaca mata pun tak tahu.

p/s: Bila isi borang, saya selalu mahu tertulis nama adik ketiga Muhammad Adha walaupun nama dia Muhammad Zulhairi. Puan Zarimah lahirkan dia Hari Raya Aidiladha. Jadi, kami panggil dia Adha.

p/s: Adha ada misai. Dia baru darjah enam. Satu hari misai dia hilang. Begitu juga Gillete Encik Zuhaimi. Selepas itu, misai dia tak tumbuh-tumbuh lagi.

p/s: Tajuk sangat iklan surat khabar.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA.

Monday, 3 October 2011

Lelap yang amat lena


Ada seorang anak saudara. Ada seorang bapa saudara. Ini kisah mereka.

Waktu anak saudara kecil, dia suka dengan bapa saudara yang itu. Sebab dia fun. Dia ajar anak saudara sembahyang tarawikh. Dia ajak anak saudara merentas hutan, Dia belikan anak saudara aiskrim perisa oren. Dia berterusan pantau anak saudara supaya anak saudara tak jauh tersesat.

Anak saudara yang itu suka tidur. Jadi, bapa saudara suka ketuk tingkap bilik anak saudara sambil buat-buat tanya "ada orang tak ni?", supaya anak saudara tak lama membuta. Bapa saudara yang itu juga yang selalu hantar surat yang posmen tersalah hantar ke rumah bapa saudara. Bapa saudara juga suka masak lempeng dan selalu dia hulur kepada anak saudara yang memang buta dapur.

Mak kepada anak saudara itu adik kepada bapa saudara tapi dia anggap bapa saudara sebagai ayah. Sebab bapa saudara memang jaga adik-adik dia. Jadi, anak saudara anggap bapa saudara macam datuk tapi datuk yang agak muda. Memang kalau ada masalah, akan tetap rasa selamat sebab tahu ada tempat yang boleh dituju.

Bila seliuh kaki, ke rumah bapa saudara. Bila demam panas, ke rumah bapa saudara. Bila nak berjalan jauh, ke rumah bapa saudara. Segalanya memang senang untuk rujuk dia. Anak saudara selalu bayangkan yang bila dia kahwin satu hari nanti, bapa saudara akan ada di situ, tersenyum sebab bapa saudara selalu usik anak saudara dengan anak jiran bermata luas.

Cuma yang anak saudara lupa, kita hanya boleh lukis pelan. Bangunan hanya akan terbina bila Allah luluskan proposal. Al-Fatihah.

Saturday, 17 September 2011

Bila aku demam, aku mesti nak makan bubur nasi dia.


Dia kata " Dah lama tak makan sama-sama dengan along". Aku angguk. Lari. Dia kata lagi " Dah besar cucu tok. Dah boleh kahwin". Aku angguk. Lari lagi. Dia kata lagi " Tok dah tak lama ni. Dah tua". Aku angguk. Lari lagi.

Satu hari. Dia kata " Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah". Dia pejam mata. Kali ini, dia yang lari. Lari jauh sampai aku yang sentiasa berlari ini tak terkejar.

Al-Fatihah.

Wednesday, 7 September 2011

Pok Tuyu dok penoh banjir


"Aku dok sere nok balik weh. Mapuh doh gini". Aku kabo ke kawang aku. Ye sengih. "Doh mu nok tepek nge mok mu sapa bile?" "Kalu ikut aku, sapa bile-bile ah". Aku kabo agi. "Doh nape ye ade dumoh? Mok nge ayoh mu gi kije. Adik-adik mu gi skoloh. Takdok orang gok dumoh. Mu dudok sorang gok. Baik dakyoh dok dumoh kalu gitu". Ye kabo pulok. Aku pong dok menung. Mikir. Betul gok nape ye kabo. Bakpe yang aku nok dudok dumoh ngat. Aku dok maing nge laptop aku gok. Bukang aku cakap nge ma due puluh pat jang pom. Aku dok tolong ma masok gok. Doh bakpe yang aku wahi ngat dok dumoh. Lepah puah mikir, aku pom rase aku boleh doh jawapang ye.

Aku wahi dudok dumoh sebab tali pusat aku ade dalang gerobok kat dapur. Bile aku dok dumoh, baru aku jadi aku.


*doksoh wak kire ah tajok dok kait nge isi. Aku nulis mase tengoh ujang. Pahtu aku mari mikir, Pok Tuyu dok penoh banjir. Mujo gop.

Perut berjahit


Hari itu dua hari sebelum raya. Encik Zuhaimi mengadu sakit perut. Tapi disebabkan figure dia yang nampak gagah, anak-anak cuma buat lebih kurang. Dia ke klinik. Doktor cakap appendiks terus bagi surat suruh ke hospital. Anak-anak mula ambil kisah. Tapi dia tak mahu pergi. Dia nak tunggu raya. Sebab tahun ini dia sangat mahu raya. Dia mahu bakar lemang. Buluh sudah dipotong. Beras pulut sudah dibeli. Santan sudah diperah. Jadi dia tahan sakit. Malam itu dia gelisah. Tak boleh tidur. Anak-anak tahu dia sakit. Paginya, dia ke klinik sekali lagi. Cuba mahu kurangkan sakit sebab esok sudah hari raya. Tapi doktor berkeras mahu dia ke hospital. Akhirnya dia mengalah.

Ke hospital.

Dia tiba-tiba nampak sangat tua bila sarung baju kaler hijau tua yang semua orang sakit pakai. Esok dah nak raya, dia ulang cakap ayat yang satu itu. Dia suruh Puan Zarimah balik sediakan rendang untuk anak-anak. Dia nampak sebak. Anak dia yang sulung temankan dia petang itu. Manja rupanya Encik Zuhaimi. Masukkan air, tangan dia membengkak. Nurse cakap perlu buang jarum, perlu cucuk yang lain. Mengeluh lagi Encik Zuhaimi. Anak sulung dia tolak kerusi roda ke bilik x-ray. Seterusnya pergi cek jantung. Doktor datang, terangkan situasi. Cuma pembedahan kecil, kata doktor. Muka dia pucat.Ya dia takut, kata dia. Dia rela diajak bertumbuk, kata dia lagi. Tak lari darah 'gedebe' Kelantan dia itu.

Setengah jam sebelum berbuka, Puan Zarimah datang. Anak sulung dia balik. Aduh sebak tengok Encik Zuhaimi kala itu. Memang dia yang paling gembira bila tiba hari raya. Dia memang suka raya. Malam itu lebih kurang pukul 12 lebih, dia masuk bilik pembedahan. Anak-anak semua di rumah. Cuma Puan Zarimah yang temankan dia. Semuanya siap dalam pukul 2 pagi. Dia sedar, terus dia minta mahu makan. Begitu memang Encik Zuhaimi. Dia memang kuat makan.

Pagi raya. Sedondon anak-anak ke hospital. Encik Zuhaimi ceria berbaju melayu. Dia dah boleh balik. Anak-anak gembira beraya di hospital. Begitu, anak-anak lebih hargai hari raya. Sekian. Selamat Hari Raya.

Sunday, 31 July 2011

Bangun pukul 4 pagi makan nasi


Esok Puan Zarimah akan bangun awal pagi. Bukan sebab dia penoreh getah. Cuma sebab esok dah boleh bersahur. Boleh tengok mata Adha yang tersepet-sepet sebab dia silau cahaya lampu. Dia makan sahur dengan tutup mata. Boleh tengok Uzma yang gembira tiap kali bangun sahur. Dia baru 2 tahun berpuasa. Benda baru. Boleh tengok Encik Zuhaimi yang konon tiada selera habiskan separuh periuk nasi. Boleh tengok Puan Zarimah yang tak makan nasi tapi makan kuih jala emas. Boleh tengok Adikju bangun 10 minit sebelum imsak sebab dia sayang tidur dia. Sangat. Boleh tengok aku basuh pinggan.

Tapi dah tak boleh tengok dia yang makan kurma terbanyak di meja makan. Dia yang hanya minum air kopi. Dia yang suka makan ikan. Dia yang suka makan mangga dengan nasi. Dia yang bangun bersahur pukul 12 tengah malam. Dia yang sentiasa gembira bila tiba bulan Ramadhan. Sebab dia sudah pergi. Betul kata dia. Mungkin raya yang lepas adalah yang terakhir untuk dia.

Al-Fatihah.

Thursday, 14 July 2011

Bulu atas bibir


Orang yang paling hensem dengan misai selepas A. Galak ialah Encik Zuhaimi. Dia tanpa misai macam Vin Diesel berambut kerinting.

Lilin tak tertiup


Kalau aku jadi Encik Zuhaimi, mungkin aku akan ada sedikit rasa hati pada anak-anak. Dia selalu jadi karakter pembantu bila banding dengan Puan Zarimah. Bukan dirancang, tapi memang itu yang jadi. Untuk hari lahir Puan Zarimah, semua anak-anak ada bagi sesuatu walau aku cuma guna kretiviti menaip mesej. Tapi point di sini, semua anak-anak ingat tarikh lahir Puan Zarimah. Hari ibu, anak-anak sekali lagi kecoh bagi ucapan. Tiba 31 Jun. Anak-anak buat bisu pekak segala. Sampai pukul 7.15 pm, Encik Zuhaimi khabarkan sendiri yang hari itu hari lahir dia. Ya, dia memang lelaki. Lelaki yang tua. Aku ingatkan dia tak kisah dengan semua ini. Tapi dia kisah. Dia kisah bila anak-anak tak ucap. Dia kisah bila anak-anak tak ingat. Maaf abah. Bukan tak ingat, cuma tak terucap. Selamat Hari Lahir abah*aku tahu hari ini 14 Julai*. Janganlah merajuk lagi. Tak menawan begitu. Saya cuma nak cakap abah saya paling hensem walau rambut dia ada kaler putih banyak.


*Bila Encik Zuhaimi hantar mesej hari lahir. Dia selalu akhiri ayat dengan dll.

Wednesday, 6 July 2011

Seorang Kaklong di Pak Tuyu


Belajar untuk mengalah sepanjang cuti ini memang tak mudah. Mungkin sebab terlalu bangga dengan peranan sebagai kakak sulung buat saya kurang mahu mendengar. Biar diri sendiri tahu berapa peratus tahap matang tapi tetap mahu cuba nampak bergaya di hadapan adik-adik. Jarang saya bicara lembut dengan mereka biar mereka begitu menjaga susila dengan saya. Memang nampak bodoh. Tapi sebab cuti yang tak pernah nak habis ini, saya mula jadi ahli keluarga. Bukan lagi kakak gila. Sebab tiada rakan sebaya, saya jadi rakan budak-budak belum ada IC. Tapi yang saya tak tahu. Semua ini seronok rupanya. Uzma belikan saya keropok 50 sen tiap kali dia balik dari sekolah. Sebab dia takut saya lapar sebab saya tak tahu memasak. Adha belikan saya teh ais tiap petang sebab dia tahu saya malas. Adikju atau dia suruh saya panggil dia Ju sentiasa dengar saya bercerita. Sebab dia yang paling tinggi antara mereka tiga beradik. Begitulah. Mungkin saya salah tafsir maksud kakak. Kakak tak semesti perlu jarakkan diri dari adik-adik untuk dapat rasa hormat. Rasa hormat itu tetap ada walau kakak tolong basuh pinggan adik-adik setiap kali lepas makan. Saya akan cuba jadi kakak yang lebih baik lepas ini. Tapi jangan harap saya untuk dodoi kamu tidur. Itu suruh Puan Zarimah buat.

Sunday, 19 June 2011

Selamat hari abah, Encik Zuhaimi


Poop. Encik Zuhaimi kentut. Sabar. Sabar. Untuk hari ini kentut dia wangi. Dia angkat buntut dari sofa laju ke dapur. Dahaga barangkali. Aku turut ke dapur. Dia minta ubat sakit urat. Aku belek barang dalam bakul. Jumpa. Aku bagi. Dia telan. Senyap. Sepi. "Abah". Aku mulakan bicara. "Hmmm". Dia balas. "Erm,,,selamat hari ayah". "Hmmmm." Lagi. Aku lari ke bilik. Seingat aku memang 'hmmmmm' itu paling banyak keluar dari mulut abah. Dia memang kurang cakap. Atau mungkin dia kurang cakap dengan aku. Aku banyak bicara dengan dia pakai mata. Bila dia jeling aku tahu dia marah. Bila dia tutup mata sambil dengar aku tahu dia sedang fikir alasan untuk aku tak buat sesuatu perkara. Begitu kami faham satu sama lain. Aku anak sulung. Puan Zarimah kata aku rapat dengan abah waktu masih ada gigi susu. Tapi bila kaki semakin panjang dan kaca mata semakin tebal, kami makin renggang. Mungkin sebab tak enak bicara hal gadis dengan abah. Tapi yang pasti dia tahu segala. Mungkin Puan Zarimah buka cerita. Seingat aku, tiap kali aku ada masalah aku pasti kalut telefon abah. Tak pernah dia biar tak berangkat. Jadi aku mahu jadi begitu untuk dia satu hari nanti.

Abah, untuk setiap titik lelah abah sara keluarga. Along titip rasa sayang. Sungguh tanpa seorang abah, along tak mungkin kenal apa maksud gigih dan ikhlas. Terima kasih atas segala. Terus berada damping along kerana memang senang untuk terlangkah silap. Tapi along tak bimbang. Sebab Encik Zuhaimi pasti datang pimpin ke jalan tak silap. Abah, sekali lagi. Selamat hari ayah. Esok kentut abah akan kembali tak wangi. Sila kentut di luar.

Thursday, 26 May 2011

Nurul Zulaikha Zuhaimi


Susah nak cakap sayang kat orang yang kita sayang. Nampak macam bodoh tapi itu yang berlaku. Begini. Saya sayang adik perempuan saya yang adik-adik lain panggil Kak Ika. Tapi rasa geli mahu cakap saya sedih dia sudah nak balik ke kampus. Sedih sebab nanti saya perlu harung 3 bulan di rumah sorang diri. Tapi semua itu tak terucap. Saya tarik rambut dia walau sebenarnya saya mahu usap kepala dia. Saya sepak buntut dia walau sebenarnya saya mahu peluk dia. Sungguh rasa sedih sekarang. Tapi, saya harap dia akan semakin matang di Kedah sana. Jangan sesekali bawa balik loghat utara itu ke Pak Tuyu. Satu hari nanti, kalau kamu yang saya sayang itu terbaca post ini, jangan sesekali sebut pasal hal ini di depan muka batang hidung saya. Senyap saja dan bersyukur sebab saya sayang kamu. Satu lagi, tolong jangan pakai kaca mata bingkai putih lagi. Kamu tak nampak cantik begitu.